KPDN : Letak syarat beli gula, peniaga boleh diambil tindakan

Pengguna diminta untuk melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sekiranya terdapat peniaga yang meletakkan syarat mewajibkan pembelian satu kilogram gula putih jernih (premium) terlebih dahulu, jika mahu membeli gula pasir kasar.

Pengarah KPDN Pulau Pinang S Jegan berkata perbuatan meletakkan syarat itu adalah salah dan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau bagaimanapun berkata setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang aduan berhubung perkara itu dan meminta pengguna tampil jika ia berlaku di kawasan mereka bagi membolehkan penguatkuasaan diambil terhadap peniaga yang terlibat.

“Jika ada peniaga letakkan syarat nak beli gula biasa perlu beli gula premium, maka itu memang salah, tetapi kita tak terima lagi aduan (daripada pengguna).

“Kita juga ada pegawai penguat kuasa yang melakukan tinjauan di premis-premis secara berkala bagi memastikan peniaga mematuhi syarat terutama bagi barang kawalan,” katanya selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2023 di Butterworth hari ini.

Jegan berkata ketika ini, bekalan gula di Pulau Pinang adalah mencukupi.

Turut baca :

Berhubung SHMMP, beliau berkata sebanyak 174 pegawai penguat kuasa dan 64 pegawai pemantau ditugaskan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah sepanjang tempoh pelaksanaan yang bermula hari ini hingga 27 Dis, bagi membolehkan penguatkuasaan dibuat secara lebih berkesan terhadap aduan pengguna.

Sementara itu, menurut beliau dari 1 Jan hingga 19 Dis lepas, sejumlah 46,079 premis di seluruh Pulau Pinang telah diperiksa dengan 777 kes diambil tindakan atas pelbagai kesalahan membabitkan jumlah sitaan RM3.38 juta, kompaun RM633,300 dan denda sebanyak RM24,000.

Dalam tempoh itu juga, pihaknya menerima 2,264 aduan iaitu 861 mengenai harga barangan dan perkhidmatan, 156 berkaitan bekalan barang kawalan, manakala selebihnya lain-lain aduan.

“Untuk Program Jualan Rahmah pula, ia masih diteruskan dan sebanyak 470 jualan telah diadakan di 13 Parlimen dan 40 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Pulau Pinang.

“Sebanyak 483,350 pengunjung direkodkan hadir pada prgram itu dengan jumlah jualan mencecah RM16.5 juta,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*