KPDN Kedah patah cubaan seleweng lebih 6,000 liter diesel, petrol

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah mematahkan cubaan menyeleweng 6,130 liter minyak diesel dan petrol dalam satu serbuan di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam semalam.

Pengarahnya, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan di premis pemborong minyak berlesen itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota KPDN Kubang Pasu pada 8.30 pagi hasil risikan selama dua minggu.

“Semasa serbuan, seorang pekerja premis warga tempatan berusia 37 tahun sedang mengisi minyak diesel dan petrol ke dalam tangki dua treler dengan nombor pendaftaran asing. Kita dapati kedua-dua treler itu telah diubah suai dan dipasang tangki tambahan.

“Kita menemukan 2,148 liter minyak diesel dan 3,982 liter minyak petrol di dalam tangki tambahan berkenaan. Jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan berjumlah lebih RM230,300,” katanya.

Beliau berkata, pekerja premis itu serta dua lelaki warga Thailand berusia 36 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

Sehubungan itu, KPDN Kedah memberi amaran keras kepada semua pihak yang berurusan dengan barang kawalan dan subsidi agar sentiasa mematuhi undang-undang,

Kementerian turut meminta pengguna menyalurkan aduan melalui Talian Aduan Khas Op Kesan 2.0 di 012-6654292, portal e-aduan atau hadir ke mana-mana pejabat KPDN terdekat.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*