KPDN cipta sejarah negara, perkenal ‘Pakej Rahmah Insurans’ serendah RM5 sebulan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara (KPDN) hari ini memperkenalkan Pakej Rahmah Insurans dan Takaful meliputi perlindungan diri dan harta benda termasuk kenderaan bermotor yang pertama di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, syarikat Allianz General Insurance menawarkan Insurans PerlindunganKu Allianz4All dengan perlindungan kemalangan peribadi sehingga RM50,000.

“Produk ini memberi perlindungan sekiranya pemegang polisi dimasukkan ke Hospital Kerajaan akibat sakit atau kemalangan.

“Ia termasuk tambahan dua manfaat baharu iaitu pembayaran balik perbelanjaan perubatan di Hospital Kerajaan dan bayaran bantuan kecemasan sekiranya berlaku pemindahan banjir sehingga RM750.

“Manfaat baharu itu ditambah tanpa kos tambahan, dengan premium tahunan pada kadar RM53 dan RM79.50 (termasuk Cukai Jualan),” katanya pada sidang media semalam.

Terdahulu beliau menghadiri Perhimpunan Bulanan KPDN Bulan Jun 2023 di Dewan Serbaguna KPDN, di sini.

Selain itu, Allianz Malaysia turut memperkenalkan perlindungan MotorcyclePlus yang menawarkan perlindungan tambahan seperti Kemalangan Diri sehingga RM10,000 untuk penunggang dan pembonceng motosikal.

“Pakej ini turut menawarkan Pendapatan Hospital yang dilaksanakan melalui polisi insuran kenderaan motorsikal berdasarkan kepada kapasiti enjin motorsikal yang didaftarkan.

“Bagi pemegang polisi Allianz Motorcycle Plus Komprehensif pula, pemegang polisi akan menikmati perlindungan Peril Khas dan Bantuan Tepi Jalan sehingga 50km dan Faedah Bantuan Banjir sebanyak RM1,000 tanpa kos di samping perlindungan sedia ada yang dinikmati oleh pelanggan Allianz MotorcyclePlus.

“Produk ini direka khas untuk motosikal dengan kapasiti 250cc dan ke bawah,” katanya.

Selain itu, syarikat Etika juga menawarkan Pakej Insuran Rahmah dan Pakej Takaful Rahmah, masing-masing dikenali sebagai Insurans Kemalangan Diri RAHMAH oleh Etiqa General Insurance Berhad dan Takaful Kemalangan Diri RAHMAH oleh Etiqa General Takaful Berhad.

“Insurans Kemalangan Diri RAHMAH dan Takaful Kemalangan Diri RAHMAH oleh Etiqa memberi pampasan kepada peserta yang mengalami kecacatan kekal akibat kemalangan atau penyakit, atau kematian akibat kemalangan dengan perlindungan bernilai sehingga RM80,000.

“Peserta pelan ini juga mempunyai fleksibiliti untuk membayar premium atau sumbangan bulanan hanya dengan RM5 atau tahunan dengan RM36 (termasuk Cukai Jualan).

“Pelan ini layak dimohon oleh seluruh rakyat Malaysia yang berusia antara 16 hingga 65 tahun dan boleh diperbaharui sehingga usia 70 tahun,” katanya.

Katanya, KPDN berharap semua pelan yang ditawarkan melalui kedua-dua inisiatif akan membantu mendorong lebih ramai rakyat Malaysia, terutamanya golongan B40 untuk memiliki perlindungan insurans atau takaful.

“KPDN amat mengalu-alukan semua pembekal perkhidmatan insurans dan takaful yang berdaftar di Malaysia agar dapat memperkenalkan pelan agar dapat dilanggan dengan harga kompetitif termasuk insdutri gig ekonomi,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*