KP JPJ ‘buka cerita’ pernah jadi mangsa penjenayah teksi haram di KLIA. Kegiatan ulat teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 di sini bukan sahaja aktif, bahkan tidak mengenal siapa mangsanya sendiri.
Terbaharu, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim menceritakan pengalaman dirinya menjadi mangsa penjenayah teksi haram tersebut.
“Saya sendiri pun sudah terkena apabila dapat merasai bagaimana perit jadi mangsa ulat ketika tiba di KLIA dari Sarawak baru-baru ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Zailani berkata, kejadian diperdayakan tersebut berlaku apabila beliau tiba pada sebelah malam dan berhasrat mahu melihat sendiri suasana ulat itu bekerja.
“Saya disapa tiba-tiba oleh pemandu itu tawar teksi sapu kerana kebetulan bawa banyak barang untuk hantar saya pulang ke rumah di Nilai, Negeri Sembilan dekat sini,” katanya.
Beliau bersetuju kerana melihat barisan penumpang agak panjang namun terkejut apabila dikenakan bayaran lebih mahal berbanding teksi sebenar atau perkhidmatan e-hailing.
Justeru, beliau mengarahkan JPJ Selangor melancarkan sekali lagi Op Ulat yang pernah dilakukan pada Mac lalu kerana menyedari kegiatan itu aktif sepanjang cuti persekolahan.
Hasil siasatan awal, agensi itu merumuskan ramai mangsa terpaksa bayar antara RM80 sehingga RM150 untuk ke Kuala Lumpur berbanding caj biasa dari RM65 sehingga RM80.
Kadar itu ujarnya melonjak dengan pelbagai kos tersembunyi seperti terpaksa menempuh kesesakan trafik, masa lama menunggu penumpang singgah ke tandas dan sebagainya.
Terdahulu beliau yang ditemani oleh Pengarah JPJ Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya, memaklumkan agensi itu menahan 19 pemandu menerusi Ops Ulat dari 4 Disember lalu sehingga semalam melibatkan terminal KLIA dan KLIA2 dengan 15 suspek menggunakan kenderaan persendirian manakala baki ialah teksi pelbagai model.
Seramai 14 pegawai dari stesen penguatkuasaan JPJ KLIA terbabit dalam operasi itu secara penyamaran dengan kesemua suspek berkenaan akan didakwa bermula esok.
Turut baca :
Operasi kali ini sekali gus merekodkan kes terbanyak bagi sepanjang tahun ini dan beliau jangka kutipan denda keseluruhan bulan ini mencecah angka tertinggi iaitu RM60,000.
“Bagaimanapun dari segi keseriusan, saya boleh kata agak kurang kerana kita pernah dapat paling tinggi ialah 177 kes pada 2019 dengan kutipan adalah RM511,400,” katanya.
Untuk sepanjang tahun ini pula, JPJ jelas Zailani, merekodkan 130 kes sahaja dan semua yang ditangkap itu didakwa di bawah Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat.
Leave a Reply