Konvoi ‘Say no to PAS’ desak GPS tolak PN. Satu konvoi kenderaan membawa poster “Say no to PAS” mengelilingi Kuching, Sarawak hari ini ketika Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilaporkan tetap menyokong Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan.
Konvoi lima kenderaan itu dikesan di beberapa lokasi sekitar Kuching dengan poster menggesa rakyat Sarawak membantah keputusan GPS menyokong PN yang turut dianggotai PAS dan Bersatu.
“Kami mahu (Pengerusi GPS) Abang Johari Openg menarik balik sokongan (GPS untuk Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri),” menurut poster yang digantung pada kenderaan itu.
Konvoi itu dikesan di Jalan Carpenter dan Pasar Terbuka Kuching.
Ahad lalu, Abang Johari berkata, GPS akan membentuk kerajaan bersama PN, Barisan Nasional dan Gabungan Rakyat Sabah.
Bagaimanapun, BN kemudiannya memutuskan untuk tidak membentuk kerajaan bersama PN atau Pakatan Harapan dan akan kekal sebagai pembangkang.
GPS juga dilihat mengubah pendirian apabila berkata, gabungan itu akan membiarkan Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan apa yang terbaik untuk rakyat.
Namun, naib presiden GPS yang juga pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, Fadillah Yusof berkata, gabungan dari Sarawak itu tidak mengubah pendirian dan akan terus menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.
Fadillah kemudiannya memberitahu, dalam satu pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong bersama pemimpin GPS di Istana Negara pagi tadi, baginda mahu satu kerajaan perpaduan ditubuhkan bagi menyelesaikan konflik politik itu.
“Kami berempat menjawab, kami tidak dapat membuat keputusan kerana ia terpulang pada kepimpinan tertinggi GPS,” kata Ahli Parlimen Petra Jaya itu.
Turut baca :
Leave a Reply