Kilang percetakan terbakar, 2 warga Bangladesh maut

Dua pekerja warga Bangladesh maut dalam kebakaran melibatkan sebuah kilang percetakan di Taman Industri Selaman, Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 4.14 pagi.

“Seramai 23 anggota dan 13 pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Bandar Baru Bangi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang dikejarkan ke lokasi kejadian bersama tujuh buah jentera.

“Kebakaran melibatkan sebuah kilang percetakan berkeluasan 60×80 kaki persegi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, kerja pemadaman secara terus dijalankan oleh anggota bomba terlibat.

“Kebakaran dikawal pada jam 4.48 sebelum dipadamkan sepenuhnya pada jam 4.50 pagi.

“Dua daripada enam mangsa terlibat masing-masing berumur 34 dan 38 tahun dipercayai pekerja kilang tersebut disahkan meninggal dunia akibat terhidu asap disebabkan kawasan kilang yang tiada ruang pengudaraan,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut berkaitan kejadian masih dijalankan.

“Anggaran kerugian serta punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*