Ketua Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria mengeluarkan permohonan maaf secara rasmi kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kerana mengaitkannya dengan insiden kibaran bendera China Okt lalu.
“Saya mengaku bahawa dakwaan-dakwaan ini adalah tidak benar dan langsung tidak berasas.
“Saya meminta maaf tanpa apa-apa rizab kepada YB Tuan Nga Kor Ming untuk segala penderitaan dan rasa malu yang diakibatkan kepadanya disebabkan dakwaan-dakwaan ini,” katanya dalam permohonan maafnya yang turut dimuat naik di media sosial PAS Perak.
Razman berkata dia juga telah menurunkan kenyataan media bertarikh 25 Okt itu dan memberi aku janji tidak akan membuat apa-apa dakwaan yang serupa atau yang bersifat sama terhadap Nga.
Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas Festival Kebudayaan Guan Gong Sedunia yang diadakan di Teluk Intan pada 24 Okt.
Dalam kenyataannya, Razman mendakwa Nga telah merasmikan majlis itu dan menuntut pemimpin DAP berkenaan disiasat di bawah Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan mempamer) 1949 (Akta 139) kerana mempamerkan lambang negara asing.
Dia juga mendakwa pengibaran bendera itu adalah tindakan provokasi yang boleh menjejaskan kedaulatan dan keharmonian Malaysia.
Nga, yang merupakan ahli parlimen di kawasan itu, berkata dia menghadiri satu mesyuarat di Kuala Lumpur ketika acara itu berlangsung, dan oleh itu mengarahkan pegawainya membuat laporan polis terhadap Razman.
“Saya mesyuarat dekat Kuala Lumpur. Macam mana saya ada boleh pergi dua tempat pada masa tepat? Jelas ini adalah satu pembohongan.
“Lepas itu, dia kata kita yang endorse (sokong). Ini bukan anjuran kita pun. Jadi jelas, ini adalah satu fitnah,” kata Nga.
Dalam surat permohonan maafnya hari ini, Razman berkata siaran media tersebut dibuat berdasarkan kekeliruan berkaitan dua program berbeza yang dirasmikan oleh Nga pada 13 September 2024 dan program pada 24 Oktober 2024 yang melibatkan insiden kibaran bendera negara China terbabit.
“Setelah dibuat penelitian dari sumber maklumat ternyata YB Nga Kor Meng tidak berada dalam program perarakan yang mencetuskan kontroversi tersebut,” katanya.
Minggu lalu, Razman turut memohon maaf kepada Menteri Besar Perak Saarani Mohamad.
Ini susulan ucapannya pada perhimpunan balas yang diadakan di Menara Condong Teluk Intan di mana dia menggelarkan Saarani sebagai biadab.
Baca juga :
Leave a Reply