Kesiannya! Rider kayuh 3km hantar makanan, rupanya order palsu.
Penghantaran makanan antara perkhidmatan yang mendapat permintaan tinggi khususnya dalam tempoh pelaksanaan total lockdown di seluruh negara ketika ini.
Pun begitu, apa yang menyedihkan apabila kumpulan penghantar makanan yang bergantung sumber pendapatan pada pekerjaan tersebut terpaksa berdepan dengan insiden pesanan palsu.
Lebih-lebih lagi melibatkan transaksi secara tunai.
Dalam kejadian dipercayai di Kota Kinabalu, Sabah, seorang penghantar makanan dikatakan mempunyai masalah pertuturan telah diperdaya pelanggan dikenali Mira untuk menghantar makanan bernilai RM80.
Penghantaran makanan itu dihantar menggunakan basikal sejauh 3 kilometer (km).
“Kesian adik rider Food Panda mengayuh basikal lebih kurang 3km untuk menghantar makanan bernilai RM80. Kononnya pelanggan tunggu di Shell Sulaman rupanya kena scam!
“Adik ini istimewa sikit tidak boleh bertutur seperti orang biasa. Nasib baik ada kawan bantu.
“Dia mencari-cari nama pelanggan Mira. Tapi kami beritahu tiada individu bernama Mira sini,” kongsi pihak stesen minyak tersebut.
Difahamkan pelanggan telah dihubungi penghantar makanan terbabit dan meminta order dihantar ke stesen minyak berkenaan.
Namun begitu, apabila dihubungi sekali lagi menerusi aplikasi WhatsApp pelanggan itu menafikan.
“Cuma rider hairan dan marah kenapa ketika telefon tadi pelanggan tidak cakap awal-awal yang tersalah order, malah disuruh hantar ke Shell!,” tulisnya menerusi perkongsian laman sosial Facebook baru-baru ini.
Apa yang dikesali, pelanggan berkenaan hanya lepas tangan dan tidak membuat bayaran ganti rugi. Mujur pihak stesen minyak berkenaan baik hati membelinya.
“Setelah tahu pelanggan scammer lepas tangan saja, kami bantulah membeli makanan cuma berharap pada scammer supaya tidak mengulangi perbuatan sedemikian.
“Imagine kalau tidak ada yang mahu bayarkan adik ini terpaksa tanggung, melainkan Food Panda bagi ganti rugi.
“Lockdown ini ramai yang tengah susah dan berhempas pulas mencari rezeki. Adik ini motosikal pun tiada dan menghantar makanan kayuh basikal saja.
“Jadi janganlah membebankan lagi orang yang tengah susah. Kami mendoakan agar adik rider dan kawannya tidak patah semangat dan teruskan berjuang demi keluarga dan orang tersayang!,” kongsinya.
Insiden terbabit menjadi tular di media sosial dan menerima pelbagai kecaman daripada masyarakat.
Leave a Reply