Kesal abaikan isteri sehingga meninggal

PERASAAN menyesal merupakan sesuatu yang cukup berat, lebih-lebih lagi sekiranya ia melibatkan individu yang sudah meninggal dunia.

Bagi Samad (bukan nama sebenar), tiada apa pun yang mampu menghilangkan rasa sesal terhadap khilafnya satu ketika dahulu yang menyebabkan isterinya meninggal dunia.

Kongsi Samad, dia berkahwin dengan isterinya, Ara (bukan nama sebenar) lebih 12 tahun lalu atas dasar cinta.

Perkahwinan mereka pada awalnya penuh bahagia dan Samad gembira dikurniakan dua orang puteri yang kini masing-masing berusia 10 dan lima tahun.

Begitu pun, sama seperti kebanyakan lelaki lain yang tidak cukup dengan seorang, Samad akhirnya kalah dengan nafsunya sendiri apabila mula jatuh hati dan menjalin cinta dengan rakan sekerjanya, Mimi (bukan nama sebenar).

“Mimi merupakan seorang yang cantik, manja dan cukup pandai menggoda saya.

“Biarpun tahu dan sedar bahawa saya merupakan suami orang, Mimi tetap tidak mahu melepaskan saya, menyebabkan saya terus membiarkan kami hanyut dalam percintaan penuh dosa itu,” kata Samad.

Hubungan cinta yang terjalin itu sebenarnya diketahui Ara, namun wanita itu hanya memendam rasa dan berusaha mengambil semula hati suaminya itu.

Setiap hari, Ara akan memastikan keperluan suaminya dipenuhi.

Ara berdoa agar hati suami kesayangannya itu akan berbalik kepadanya.

Pun begitu, Samad sudah terlalu jauh dalam percintaannya dengan Mimi dan semua perkara baik yang dibuat si isteri menjadikan dia semakin jengkel dengan Ara, malah sanggup tidak pulang ke rumah selama berbulan-bulan lamanya.

“Saya juga tidak pernah menjawab panggilan dan teks pesanan yang ditinggalkan Ara kerana saya sudah tiada hati terhadapnya.

“Saya bersekedudukan dengan Mimi umpama pasangan suami isteri yang sah dan berniat mahu menceraikan Ara, namun masih menunggu masa yang sesuai,” kata Samad.

Namun, satu hari, Ara diserang demam panas dan dia terus menghubungi Samad tanpa henti, merayu agar suaminya itu membawanya ke hospital.

Biasanya, Ara akan memandu sendiri, namun hari itu dia benar-benar tidak larat dan terpaksa meminta bantuan suaminya.

Bagaimanapun Samad tidak langsung mengendahkan panggilan si isteri dan terus menutup telefon bimbitnya kerana rimas diganggu berkali-kali.

Ara akhirnya terpaksa meminta adik perempuan Samad, Ika (bukan nama sebenar) untuk membawanya ke hospital.

Ika kemudian memaklumkan keadaan Ara kepada abangnya dan Ara terkejut apabila dimaklumkan lelaki itu hanya menganggap Ara sengaja menagih perhatian selain percaya bahawa demamnya akan surut.

Oleh kerana tidak tahan lagi dengan sikap suami, Ara kemudian membuka cerita dan memberitahu kepada Ika bahawa abangnya itu sedang menjalin hubungan dengan rakan sekerjanya, selain mereka juga sudah lama tidak tinggal sebumbung.

“Ika kemudian menelefon dan memaki hamun saya sepuas hatinya, namun entah mengapa, ketika itu saya sudah benar-benar tidak mempedulikan Ara dan tidak memberikan sebarang respons terhadap kemarahan Ika.

“Saya juga tidak peduli jika Ika ingin memberitahu tentang kecurangan saya kepada ibu bapa kami kerana saya amat mencintai Mimi dan berhasrat untuk mengahwininya,” kata Samad.

Begitu pun, keadaan kesihatan Ara semakin merosot apabila ternyata demam yang dialaminya itu bukan demam biasa.

Rupanya, organ dalaman Ara dijangkiti kuman dan menyebabkan kadar oksigen dalam badannya semakin rendah,

Ika yang bimbangkan kakak iparnya yang sedang nazak terus-terusan menghubungi Samad dan memintanya untuk datang serta melihat sendiri keadaan isterinya itu, namun Samad tetap enggan dan mula rimas dengan Ika serta ahli keluarganya yang lain dek tidak henti-henti menghubunginya.

Ternyata, hayat Ara tidak panjang apabila dia disahkan meninggal dunia sehari kemudian.

Selepas dimaklumkan tentang kematian isterinya, Samad amat terkejut dan ketika itu, barulah dia tersedar bahawa telah membuat satu kesilapan yang cukup besar.

“Saya bergegas pulang dan apabila melihat tubuh Ara yang sudah tidak bernyawa, air mata lelaki saya terus mengalir laju.

“Raungan anak-anak juga menyebabkan tubuh saya terasa lemah dan hati saya mulai dipenuhi dengan rasa menyesal yang tidak mampu saya ungkapkan dengan kata-kata,” tutur Samad yang turut memutuskan hubungannya dengan Mimi kerana begitu menyesali perbuatannya.

Kini, setiap hari, Samad akan habiskan masa berjam-jam di kubur arwah isterinya untuk mendoakan Ara dan juga berbual dengannya.

“Setiap hari, saya akan menangis sepuas hati di kubur arwah Ara kerana saya akan teringat kembali semua kebaikan arwah dan juga perbuatan kejam saya terhadapnya sehingga ke nafasnya yang terakhir.

“Malah, hidup saya kini terasa begitu sepi kerana anak-anak kini dalam jagaan keluarga mentua saya dan mereka sudah membuang saya selepas apa yang berlaku.

“Saya reda jika saya perlu hidup dengan rasa menyesal ini sepanjang hayat kerana saya tahu, inilah balasan yang perlu saya tanggung akibat perbuatan saya sendiri,” kata Samad menutup bicara.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*