Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur semalam diberitahu wang berjumlah RM976,380 dimasukkan ke dalam akaun bank tiga syarikat menerusi lima transaksi, dua tahun lepas.
Penolong Pengurus Ambank Cawangan Manjalara Norsuhana Yusof, 46, mengesahkan terdapat transaksi kemasukan wang masing-masing RM400,000 ke dalam akaun Ambank Islamic atas syarikat Jendela Timur Consultant pada 2 Sept dan syarikat Fendi Dilif Resources pada 5 Okt 2022.
“Pada 20 Okt 2022, terdapat transaksi kemasukan wang RM31,800 dan RM54,000 bagi syarikat Fokus Malaysia Studio melalui pindahan wang.
“Terdapat juga transaksi kemasukan wang berjumlah RM90,580 atas syarikat Fokus Malaysia pada 7 Nov 2022,” katanya apabila dirujuk dengan penyata akaun Ambank Islamic bagi tiga syarikat berkenaan.
Saksi pendakwaan ke-17 itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Shahrom Idris pada perbicaraan kes bekas Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang berhadapan 18 pertuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan rasuah berhubung projek Jana Wibawa.
Kepada soalan peguam Chetan Jethwani yang mewakili Wan Saiful, saksi bersetuju beliau hanya boleh mengesahkan terdapat wang masuk ke dalam akaun bank, namun tidak mengetahui tujuan wang berkenaan dimasukkan.
Sebelum ini, Wan Saiful didakwa menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram menerusi dua keping cek, masing-masing bernilai RM400,000 yang dibayar kepada syarikat Jendela Timur Consultant dan Fendi Dilif Resources, serta memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM176,380 ke akaun bank syarikat Fokus Malaysia.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung hari ini.
Wan Saiful, 49, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta.
Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd, daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan SST bagi projek terbabit.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di Kuala Lumpur pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku antara 8 Julai hingga 30 Sept 2022.
Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta, dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu, antaranya bagi membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di Kuala Lumpur, antara 12 Ogos dan 13 Nov 2022.
Baca juga :
Leave a Reply