Kes serangan balai polis Ulu Tiram, 2 pelajar IPT dibebas tanpa syarat

Polis membebaskan dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang direman berhubung serangan Balai Polis Ulu Tiram tanpa syarat semalam.

Ketua Polis Johor, M Kumar berkata, pembebasan dua individu berusia 21 dan 22 tahun itu yang juga penuntut sebuah institusi latihan serta kolej swasta atas arahan Pejabat Peguam Negara.

“Bagaimanapun, siasatan terhadap lima ahli keluarga suspek masih diteruskan memandangkan tempoh tahanan reman mereka akan tamat 24 Mei ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak memanipulasi fakta, membuat spekulasi atau komen di media sosial sehingga boleh menggugat ketenteraman awam dan mengganggu siasatan polis.

Dua pelajar IPT itu ditahan 17 Mei lalu untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berhubung serangan di Balai Polis Ulu Tiram.

Dalam serangan 2.54 pagi Jumaat lalu, dua anggota polis berpangkat konstabel, Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban.

Seorang lagi anggota polis berpangkat koperal, Mohd Hasif Roslan cedera ditembak dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail, manakala suspek berusia 21 tahun ditembak mati di tempat kejadian.

Susulan itu, tujuh individu direman tujuh hari bagi membantu siasatan serangan berkenaan.

Dua pelajar IPT yang hadir di balai polis sejurus sebelum kejadian ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dalam kes itu, manakala baki lima lagi ialah ahli keluarga suspek berusia 19 hingga 62 tahun yang ditahan sejak Jumaat lalu.

Turut baca  :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*