Kes pukul OKU: Seorang minta dibicara, 5 didenda RM2,000

Lima lelaki mengaku bersalah kerana sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dalam kejadian di sebuah pasar tani di Kemaman bulan lepas.

Ketua Polis Kemaman Mohd Razi Rosli berkata, enam individu ditahan berhubung kes tersebut dituduh di Mahkamah Majistret Kemaman pada Isnin lepas, dengan lima daripadanya mengaku bersalah, manakala seorang lagi meminta dibicarakan.

“Kesemua yang mengaku bersalah telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,000 setiap seorang dan mereka telah membayar denda tersebut,” katanya, lapor Sinar Harian.

Tambahnya, kesemua tertuduh sebelum ini disiasat bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Mohd Razi menasihati orang ramai agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan spekulasi tidak benar.

“Pihak polis akan sentiasa memastikan siasatan dijalankan secara telus dan adil,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang OKU mental berusia 47 tahun dipukul beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka kira-kira 9.30 pagi pada 17 Jan lepas, selepas motosikalnya terlanggar sebuah gerai jualan menyebabkan makanan terjatuh dan tumpah.

Mangsa dilaporkan cedera dipercayai dipukul dan disepak beberapa individu dipercayai peniaga serta pembeli di pasar tani itu.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*