Kes Nur Farah Kartini : ‘Kita tidak akan benarkan ‘nila setitik’ jejaskan imej polis’, kata KPN

Polis tidak akan melindungi anggotanya yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh Nur Farah Kartini Abdullah, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Beliau berkata, siasatan berkaitan kes itu akan dijalankan dengan telus dan adil, tanpa mengira pangkat atau kedudukan.

“Pangkat atau kedudukan tidak penting. Anggota polis yang melakukan jenayah akan menghadapi keadilan atas apa yang mereka lakukan, jangan harap kami akan lindungi perbuatannya.

Kita tidak akan benarkan ‘nila setitik’ menjejaskan imej polis, katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai penahanan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal bagi membantu siasatan kes bunuh bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dari Sarawak itu.

Dilaporkan awal hari ini, seorang anggota polis yang bertugas di Balai Polis Slim River, Perak, direman seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh Nur Farah Kartini, 25.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan suspek berusia 26 tahun itu ialah teman lelaki mangsa.

Semalam, mayat Nur Farah Kartini ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor. Mangsa dilaporkan hilang sejak Rabu lepas selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*