Kerana untung berlipat ganda, sindiket rela ‘melabur’ sewa stor untuk seleweng diesel subsidi

Untung berlipat ganda hasil penyelewengan diesel subsidi menyebabkan sindiket sanggup berbelanja besar bagi memastikan kegiatan haram mereka dapat diteruskan.

Ini termasuklah mengeluarkan belanja sehingga ribuan ringgit untuk menyewa stor haram, selain mengubahsuai tangki minyak pada lori bagi memudahkan penyimpanan dan pengangkutan bahan api yang diseleweng itu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Muhammad Zahir Mazlan berkata, perkara itu dikesan susulan Ops Tiris yang dijalankan, dengan terkini membabitkan serbuan di Kawasan Perindustrian Gala, di sini, kira-kira jam 1 pagi semalam.

Dalam serbuan itu, sejumlah 6,600 liter diesel dianggar bernilai RM14,190 dirampas, selain tiga lori, 10 tangki IBC dan peralatan lain yang digunakan bagi tujuan penyelewengan diesel.

Turut dirampas wang tunai RM88,000 yang menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM161,090.

Mengulas lanjut, Muhammad Zahir berkata, premis diserbu itu dipercayai disewa dan sudah beroperasi selama sebulan sebagai stor haram untuk pengumpulan dan penyimpanan sementara diesel bagi tujuan diseleweng.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*