Pihak berkuasa sedang menyiasat beberapa ungkapan yang dikeluarkan pihak pembangkang yang menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, antara yang disiasat ialah Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyentuh 3R.
“Nak bercakap tentang bangsa, kasih sayang kepada rakyat, tidak ada salahnya, teruskan bercakap.
“Yang tidak boleh kalimah seperti ini, ‘Mengundi PH adalah bahaya kerana PH menaja kumpulan Yahudi, itu tidak boleh. (Pada) 17 November 2022, jam 5 petang aduan telah dibuat diatas ucapan (Ahli Parlimen) Pagoh dalam ceramah PN Best 16 November 2022 di Padang Bukit Muar, Parit Jawa.
“Jadi polis terpaksa buka kertas siasatan, sebab ada aduan,” katanya di pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Saifuddin Nasution menjawab pertanyaan tambahan Muhyiddin mengapa beliau sering kali dipangggil oleh polis atas siasatan berhubung 3R.
Bekas Perdana Menteri itu turut meminta agar Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menarik balik kenyataan bahawa rakyat negara ini tidak boleh menyebut isu 3R dan menyatakan perkara tersebut tidak tepat.
Saifuddin Nasution berkata, atas kenyataan itu polis membuat siasatan dan Muhyiddin hanya dipanggil untuk memberi kenyataan sahaja.
“(Sepanjang) 22 bulan saya dengan Pagoh (Muhyiddin) sama-sama dalam Kerajaan, pernahkah Pagoh ada sebarang kertas jemaah menteri kita sebut nak rungkai perlembagaan dan nak buang Islam?. Oleh kerana itu aduan dibuat,” ujarnya.
Tambah beliau, Abdul Hadi Awang (PN-Marang) turut disiasat kerana mengeluarkan kenyataan menyentuh isu 3R pada 30 Julai tahun lalu.
Malah katanya, Abdul Hadi turut dirakam membuat perkara sama pada 14 Oktober tahun lalu dengan menyebut PH menolak Islam dan menyokong komunis.
“PH tolak Islam, menyokong komunis, khianat dan puak yang menolak Raja, bila pula PH menolak raja?,” katanya.
Saifuddin berkata, sebanyak 104 kertas siasatan dibuka kerana menyentuh isu 3R yang membabitkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Leave a Reply