Kemuka kontrak palsu RM77 juta, bekas pengurus syarikat direman

Seorang bekas pengurus syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mengemukakan dokumen perjanjian kontrak kerja palsu bernilai kira-kira RM77 juta.

Kontrak itu bagi memohon kuota pekerja asing kepada Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia pada 2022.

Sumber berkata, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an ditahan kira-kira 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.

Katanya, susulan penahanan itu suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi dan direman tujuh hari bermula hari ini hingga 1 Julai.

“Siasatan awal mendapati suspek bersama tujuh pengarah syarikat daripada empat syarikat terbabit telah memohon kuota pekerja asing di Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia dengan mengemukakan dokumen perjanjian kontrak kerja palsu.

“Suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada 2022 yang melibatkan 25 kontrak kerja palsu dengan anggaran kira-kira RM77 juta,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas, Azmi Kamaruzaman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Katanya, SPRM sedang mengesan beberapa lagi individu untuk membantu siasatan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*