Kematian yang dicemburui, warga emas bertemu ajal ketika solat

Seperti mana setiap umat Islam mendambakan kematian yang penuh kemuliaan, itulah juga yang menjadi bahagian buat Latipah Yusof.

Warga emas berusia 65 tahun, yang meninggal dunia ketika solat Asar di surau di sebuah hotel di sini, pada Sabtu.

Suri rumah itu ditemui menghembuskan nafas terakhir oleh suaminya pada jam 6.30 petang selepas mendengar jeritan meminta pertolongan mengatakan ada wanita terbaring ketika solat.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, sebaik menerima laporan berkenaan, anggota polis dihantar ke tempat kejadian.

Menurut Zaidy, wanita itu yang berasal dari Kamunting, Perak berkunjung ke hotel berkenaan bersama suaminya untuk menghadiri satu majlis.

Katanya, hasil siasatan mendapati, pasangan suami isteri itu tiba di hotel tersebut pada waktu Asar dan terus ke surau hotel yang terletak di tingkat dua.

“Suaminya ketika itu sedang solat di bahagian lelaki dan ketika rakaat ketiga dia terdengar ada suara di bahagian solat wanita berkata, ada orang jatuh.

“Lelaki itu yang mengesyaki sesuatu terjadi pada isterinya terus ke ruang solat wanita dan terlihat isterinya sudah tidak sedarkan diri,” katanya.

Menurut Zaidy, lelaki terbabit mengatakan isterinya mengadu tidak sihat dan semasa dalam perjalanan wanita itu sering tidur.

Katanya, si suami turut memaklumkan isterinya mempunyai sakit darah tinggi dan pernah menghidap ‘stroke’ serta mendapat rawatan di Hospital Ipoh sebelum ini.

“Siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*