“Kemalangan ngeri…” Seorang maut, 8 cedera dalam kemalangan 4 buah kenderaan di LPT 2

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun maut manakala lagi lapan cedera dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 426.1, Lebuhraya Pantai Timur (LPT 2), malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan membabitkan sebuah lori dan tiga buah kenderaan termasuk Ford Ranger, Mitsubishi Pajero dan Proton Saga pada pukul 12.05 tengah malam.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dinaiki dua orang mangsa telah melanggar belakang lori sebelum terbabas ke kanan jalan.

“Pelanggaran itu juga menyebabkan lori terbabit terbabas ke kiri jalan,” katanya.

Tambahnya, tidak lama selepas itu, sebuah Mitsubishi Pajero yang dinaiki sepasang suami isteri dan empat orang anak melanggar Ford Ranger.

“Ford Ranger itu kemudian turut dilanggar Proton Saga yang dinaiki oleh dua orang mangsa,” katanya.

Susulan kemalangan terbabit, seorang penumpang kanak-kanak di dalam Mitsubishi Pajero cedera parah dan disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital.

“Kesemua mangsa terlibat cedera dan dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut,” ujarnya.

Jelasnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Turut baca

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*