Seramai 11 individu telah diambil keterangan membabitkan kes pembunuhan seorang wanita dan bayinya yang berusia tiga bulan di Kampung Bakar Batu, di sini, Isnin lepas (4 Julai).
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan masih dijalankan dan polis sedang melengkapkan kertas siasatan.
“Ramai yang ingin mengetahui perkembangan terkini kes tersebut dan setakat ini kita telah rakam percakapan 11 orang saksi yang berada di kawasan tersebut dan yang melihat kejadian itu,” katanya ketika ditemui dalam Op Lancar di Jalan Tebrau, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes bunuh melibatkan suami kepada wanita berusia 26 tahun itu.
Kamarul Zaman berkata, suspek berusia 24 tahun itu memberikan kerjasama kepada pihak polis dan meminta orang ramai agar memberi ruang kepada pihak polis untuk melakukan siasatan serta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu.
Pada 4 Julai lepas, lelaki yang disyaki membunuh isteri dan bayinya yang baru berumur tiga bulan, ditahan di kawasan Permas Jaya di sini, beberapa jam selepas mayat dua beranak itu ditemukan di hadapan rumah mereka di Kampung Bakar Batu.
Suspek ditahan ketika menunggang motosikal dalam keadaan berbogel pada pukul 2.45 petang dan sebilah pisau pemotong daging padanya turut dirampas.
Suspek direman seminggu bermula 5 Julai lepas.
Turut baca
Leave a Reply