Jabatan Imigresen (JIM) Pulau Pinang membongkar kegiatan memproses i-Kad Imigresen, kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan lesen memandu Pakistan palsu disyaki didalangi warga Pakistan dalam operasi di rumah pangsa di Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Lepas, semalam.
Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Shah Inor Shahbudin, berkata operasi bermula 12.30 tengah malam itu berdasarkan aduan awam dan risikan kegiatan warga asing yang dilihat sering berkeliaran di penempatan tersebut sehingga menimbulkan kebimbangan warga tempatan.
Beliau berkata, 33 individu dari 11 unit rumah diperiksa, dengan lima daripadanya ditahan, mereka terdiri daripada seorang wanita dan seorang lelaki Myanmar serta tiga lelaki Pakistan.
“Semasa serbuan di sebuah daripada rumah didiami warga Pakistan, anggota operasi menemui beberapa peralatan elektronik, termasuk komputer riba, mesin lamina, mesin pencetak, 246 kad plastik keras yang belum bercetak dan tiga keping pasport sedang diubah suai.
“Turut ditemui lima keping i-Kad Imigresen, tiga kad CIDB dan lima lesen memandu antarabangsa Pakistan siap dicetak.
“Selain itu, peralatan pengubahsuaian pasport, 57 plastik lamina lutsinar, pemacu cakera keras serta tiga telefon bimbit pelbagai jenama.
“Selain memalsukan dokumen, kesalahan lain ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan kesalahan melanggar Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan sambil menambah semua warga asing 30 hingga 50 tahun itu ditahan di Depot Imigresen Juru untuk tindakan lanjut.
Shah Inor berkata, operasi seumpamanya akan dilaksanakan berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar undang-undang negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung pendatang asing tanpa izin atau sebarang maklumat yang boleh membantu imigresen dalam melaksanakan penguatkuasaan, diminta tampil menyalurkannya.
Leave a Reply