Tiga individu, termasuk pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan imam sebuah masjid di Kangar, direman lima hari sehingga 9 Jun ini, bagi membantu siasatan berhubung penerimaan suapan RM1,183,140 dalam pengurusan pendaftaran pernikahan di Perlis sejak April 2022 sehingga Jun 2023.
Ketiga-tiganya yang berusia 25 hingga 52 tahun ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perlis di beberapa lokasi berasingan di Kangar, semalam.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Ana Rozana Mohd Nor, selepas ketiga-tiganya dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar, hari ini
Sumber SPRM berkata, dalang yang bertugas sebagai penjawat awam berusia 45 tahun ditahan di pejabatnya di JAIPs, jam 4.10 petang.
Manakala dua lagi ditahan di Pejabat SPRM Perlis di Kangar, jam 6 hingga 6.15 petang, selepas dipanggil untuk memberi keterangan.
“Dalang dipercayai bekerjasama dengan imam masjid itu dan anak kepada imam berkenaan yang juga pemilik sebuah syarikat yang bertindak sebagai perunding dalam menguruskan urusan pernikahan di Perlis.
“Siasatan awal kita pada waktu ini mendapati, bagi setiap permohonan nikah, terutama untuk pasangan yang bernikah di Thailand dan mahu mendaftarkan pernikahannya itu semula di negara ini, mereka akan berhubung dengan syarikat yang menguruskan pernikahan ini yang dimiliki oleh anak kepada imam masjid itu.
“Syarikat yang beroperasi di Kangar ini kemudian akan meminta pasangan yang mahu mendaftarkan pernikahan itu bayaran sekitar RM5,000 sebagai wang pendaftaran pernikahan berkenaan,” katanya ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Kangar.
Katanya, daripada jumlah itu, RM2,000 akan dibayar kepada dalang sebagai wang denda pasangan terbabit kerana bernikah di Thailand.
“Bakinya dibahagikan sesama mereka bertiga. Ketiga-tiganya disyaki terbabit dalam urusan pendaftaran pernikahan yang tidak mengikut prosedur yang ditetapkan seperti pasangan tidak bermastautin mengikut tempoh seperti sepatutnya.
“Siasatan turut mendapati, terdapat juga kesalahan pasangan tidak hadir dan tidak dicatatkan dalam buku daftar pernikahan selain tidak melalui Mahkamah Syariah,” katanya.
Sumber berkata, dalang kes terbabit mengaut keuntungan lebih RM1 juta dalam akaun peribadinya hasil urusan berkenaan yang dijalankan bermula April 2022 hingga Jun tahun lalu.
“Malah, siasatan awal kita juga percaya bahawa imam masjid itu dan anaknya turut mengaut keuntungan melebihi dalang terbabit. Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya.
Terdahulu, ketiga-tiganya yang diwakili peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim dan Zuhair Ahmad Zakuan, tiba di mahkamah sekitar jam 8.30 pagi diiringi anggota SPRM.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis Mohd Nor Adha Ab Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan ketiga-tiga suspek.
Turut baca :
Leave a Reply