‘Kantoi’ ujian air kencing, wanita lega sikap tunang terbongkar 3 bulan sebelum bergelar raja sehari

Gambar sekadar hiasan

MAJLIS perkahwinan yang semakin hampir pasti membuatkan bakal pengantin berdebar-debar untuk bergelar raja sehari.

Bagaimanapun, bagi sesetengah individu mereka perlu menghadapi pelbagai ujian dan cabaran menjelang hari bahagia itu.

Bagi seorang wanita, dia tidak menyangka akan berdepan dengan ujian berat apabila mengetahui tunangnya ditahan pihak berkuasa dan didapati terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

“Saya rasa sesak sangat, tak boleh nak buat apa pun. Stres! Tunang saya dah beberapa hari kena tangkap sebab sangkut ujian air kencing.

“Saya betul-betul tak sangka dia boleh jadi macam tu sebab selama berapa tahun dengan dia, tak pernah pun dia tunjukkan perangai yang pelik-pelik.

“Jadi saya tak syak apa pun, tapi tiba-tiba saya dapat berita macam ni. Saya rasa sesak nafas dan sakit hati,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial.

Dalam luahan tersebut, wanita itu bagaimanapun tidak mendedahkan punca tunangnya ditahan polis sehingga membawa kepada ujian air kencing.

Serabut memikirkan apa yang terjadi, dia mengakui sukar untuk menerima kenyataan mengenai tunangnya itu.

Tidak berfikir panjang, wanita itu kemudian terus membuat keputusan untuk membatalkan rancangan perkahwinannya.

“Tak tahu nak buat apa, saya ada sarankan pada ibu yang saya nak putus tunang. Tapi ibu cakap tunggu sampai dia keluar dari situ, baru bincang benda ni.

“Jangan putuskan dulu, takut si dia jadi gila. Tapi masalah saya macam mana?” luahnya.

Menurut wanita itu, sudah banyak persiapan yang dilakukan untuk majlis perkahwinannya tidak lama lagi, namun kini buntu dengan situasi yang dihadapinya itu.

“Patutkah saya tunggu atau putuskan saja? Kami rancang nak kahwin Januari tahun depan. Persiapan kahwin dah buat 70 peratus,” katanya lagi.

Menerusi ruangan komen, rata-rata warga maya bersimpati dengan keadaan yang dihadapinya dan menasihatinya supaya membuat keputusan yang tepat sama ada mahu meneruskan rancangan perkahwinan atau membatalkannya.

“Apabila sangkut ujian air kencing tu, tak payah fikir panjang dah. Sila tarik diri awal-awal. Tak kisahlah walaupun persiapan dah 100 peratus siap mahupun lagi sehari nak nikah.

“Jangan risikokan diri sendiri, sayang diri dulu sebelum sayang orang lain. Masa bercinta tunang tak tunjuk, nanti dah kahwin sikit-sikit perangai aslinya akan keluar. Kalau dah main barang tu tak mudah dia akan terus berhenti, takut makin teruk.

“Sekali dia dah buat perangai macam tu, tak mustahil dia akan buat lagi. Tapi apa-apa pun manusia boleh berubah jika dia yang mahu ubah diri sendiri,” komen warga maya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*