‘Kami mahu tanam padi, bukan kangkung’ – Pesawah kesal aduan diajukan tiada tindakan

PENDANG – Kira-kira 20 pesawah di Kampung Alor Ali dan Kampung Tok Pauh Mukim Bukit Raya di sini mengalami kerugian apabila tidak dapat mengerjakan sawah kerana masalah perparitan.

Pesawah, Abdul Hamid Ghafar, 45, berkata, tali air di kawasan sawah seluas 30 hektar itu tidak diselenggara dengan baik menyebabkan ia semakin cetek selain dipenuhi kangkung.

Katanya, keadaan itu berlarutan sejak lima tahun lalu walaupun aduan kepada pihak bertanggungjawab sudah diajukan beberapa kali.

“Apabila musim hujan inilah masalah kami air bertakung dalam sawah, sedangkan pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) minta kami ikut jadual tanaman tapi macam mana nak ikut kalau air masih bertakung.

“Begitu juga pada musim panas, air tak boleh masuk ke dalam sawah menyebabkan proses tumbesaran padi terbantut.

“Setiap kali musim tanam padi, kami akan rugi RM1,000 bagi setiap 0.3 hektar yang kami usahakan,” katanya ketika ditemui di Kampung Alor Ali, Mukim Bukit Raya di sini pada Ahad.

Ahmad Puzi Bahari, 62, berkata, kali terakhir tali air berkenaan diselenggara adalah kira-kira tujuh tahun lalu, namun ia kembali cetek.

“Kami kat sini pernah berpakat mengumpul duit RM50 seorang untuk menyewa jengkaut bagi membuang kangkung di situ, namun ia tidak dapat menyelesaikan masalah itu sepenuhnya.

‘Kami mahu tanam padi, bukan kangkung’ - Pesawah kesal aduan diajukan tiada tindakan
Sebahagian pesawah menunjukkan sistem perparitan yang ditumbuhi semak samun hingga menyekat pengaliran air ke sungai, sekaligus menenggelamkan petak-petak sawah berdekatan di Kampung Alor Ali ketika ditemui pemberita hari ini. Masalah ini sering berlaku setiap kali hujan lebat, memberi kesan kepada 20 orang petani dengan keluasan lebih 30 hektar sawah. Pesawah di Kampung Tok Pauh berdekatan juga turut terkesan.

“Tali air ini perlu didalamkan tapi kosnya terlalu tinggi, kami tak mampu nak sewa jengkaut untuk tempoh yang lama.

“Lagi pun setiap kali musim padi, kami hanya balik modal dan terpaksa bayar hutang kepada tauke padi dan MADA bagi pembelian benih padi,” katanya.

Bagi Rosli Ahmad, 52, keadaan yang dihadapi itu menyebabkan beliau terpaksa menanggung kos membayar sewa jentera membajak dan membeli benih sebanyak dua kali.

“Sepatutnya kami sudah mula menabur tapi sekarang terpaksa tangguh dulu, saya pula perlu bayar sewa kepada pemilik setiap musim.

“Jika MADA tidak mengambil tindakan kami tak tahu bila kami boleh mula menabur benih.

“Saya harap MADA mengambil berat aduan kami ini kerana sudah terlalu lama menanggung kerugian,” ujarnya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*