“Kami hantar jenazah bukan peminta sedekah… Lelaki kongsi pengalaman ‘pahit’ sewaktu hantar jenazah. Nampak mudah dan ia pekerjaan yang tidak dipandang orang. Namun sebenarnya tugas sebagai pemandu van jenazah memerlukan kecekalan serta ketahanan mental yang tinggi. Kita bukan sahaja berdepan dengan masalah mengurus dan menghantar jenazah, malah kita juga terpaksa melayan kerenah ahli keluarga yang bermacam-macam fiil. Ada kalanya urusan itu menjadi mudah, ada kalanya juga, ia makin merumitkan keadaan.
Pernah terjadi beberapa tahun lalu, sewaktu saya menghantar jenazah ke sebuah negeri di pantai timur, kami tiba di rumah arwah lebih kurang jam 2.00 petang. Setibanya di rumah arwah, saya tidak nampak pun seorang lelaki di situ. Semuanya kaum wanita yang menanti jenazah. Nasib baik ketika itu saya datang bersama seorang pembantu.
“Tak ada orang lelaki ke kat sini?” soal saya sebelum menurunkan jenazah.
“Ada, tapi dia orang ingat jenazah lambat lagi sampai. Tu yang dia orang balik rumah dahulu,” balas seorang wanita yang ada di situ.
Begitu pula. Hendak tunggu jenazah tiba baru hendak datang. Disebabkan tiada orang, terpaksalah saya bersama pembantu saya mengusung jenazah masuk ke dalam rumah. Tidak sanggup pula hendak biarkan jenazah kepanasan di dalam van.
Kami berdua mengangkat jenazah masuk ke dalam rumah. Sudahlah jenazah itu boleh dikatakan besar dan berat. Baru sahaja kami meletakkan jenazah, tiba-tiba tuan rumah meminta kami menghantar jenazah itu ke masjid pula.
Saya memandang pembantu saya. Mukanya sedikit marah. Saya meminta dia sabar. Kami kembali mengangkat jenazah dan memasukkannya semula ke dalam van dan terus ke masjid.
Sampai di masjid, nasib baik ada beberapa orang jemaah lelaki membantu kami mengangkat jenazah berkenaan. Jenazah itu memang sudah dimandikan di hospital, tinggal untuk disolatkan sahaja. Keluarga arwah meminta saya tunggu seketika.
Sewaktu solat jenazah, boleh dikatakan hampir 20 orang yang melakukannya. Selesai solat sahaja, mereka semua terus turun begitu saja. Jenazah langsung tak dihiraukan. Saya dan pembantu saya terpinga-pinga melihat mereka. Tiada seorang pun yang menawarkan diri untuk membantu.
Sekali lagi saya dan pembantu saya terpaksa mengangkat jenazah masuk ke dalam van dan terus ke kubur. Selesai semuanya, ahli keluarga arwah mengucapkan jutaan terima kasih kepada saya. Dia juga menghulurkan upah yang berlebihan kepada saya.
Sebenarnya bukan itu yang saya minta. Perkara yang menjadi persoalan kepada saya ialah, ke mana orang lelaki di kawasan itu? Tiada seorang pun yang membantu. Sewaktu di kubur pun hanya kami berdua sahaja yang mengangkat jenazah. Lelaki yang lain hanya melihat sahaja. Pelik sungguh!
Bukankah apabila berlaku kematian di suatu kawasan, itu menjadi fardu kifayah orang kawasan itu untuk menyelesaikannya. Bukannya orang lain seperti saya. Mereka seolah-olah lepas tangan apabila melihat sudah ada yang membuat kerja tersebut.
Apabila mengenang kembali peristiwa itu pasti hati saya berasa panas. Jika diikutkan hati, saya tinggalkan sahaja jenazah itu. Kalau tidak disebabkan rasa tanggungjawab, pasti sudah lama saya lakukan sedemikian. Itulah sebahagian daripada cabaran sebagai pemandu van jenazah. Mungkin itu adalah ujian kepada kami.
Ingatkan Kerja Begini ‘Free’
Satu lagi pengalaman saya lalui sewaktu menghantar jenazah ke Perak. Perjalanan dari Pulau Pinang ke Perak mengambil masa lebih tiga jam lebih. Waktu itu petang. Sampai sahaja di rumah arwah, saya lihat sudah ramai ahli keluarga dan jiran-jiran yang menanti.
Selesai semuanya, saya meminta upah penghantaran jenazah kepada salah seorang ahli keluarga arwah. Biasanya kalau luar kawasan saya adakan sedikit bayaran tambahan dan perjalanan ikut kilometer. Sewaktu saya meminta bayaran, semua seperti cuba mengelak.
Apabila saya bertanya kepada orang ini, dia menyuruh saya minta dengan orang itu. Apabila bertanya pada orang itu, dia minta suruh tanya orang ini. Saya rasakan seperti meminta sedekah pula. Padahal merekalah yang patut datang dan bayar kepada saya. Bukannya saya pula perlu meminta dengan orang itu dan ini.
Waktu itu serius saya cakap, saya memang berasa sangat marah. Sehinggakan satu tahap, saya terpaksa meninggikan sedikit suara kepada salah seorang ahli keluarga arwah.
“Akak! Saya ni pemandu van, bukan peminta sedekah. Saya dah buat kerja saya, bayarlah upah saya,” kata saya dengan nada yang marah.
Mendengar sahaja suara saya itu, semua yang berada di situ memandang saya. Tetapi mereka tetap buat muka tidak endah sahaja. Seolah-olah tidak tahu siapa yang mahu membayarnya.
Saya kembali memperlahankan suara dan katakan kepadanya, saya mahu pulang sekarang. Perjalanan saya masih jauh. Badan saya penat. Saya minta mereka faham keadaan saya. Saya cuba menenangkan kembali keadaan.
Akhirnya, salah seorang daripada mereka datang bertemu saya dan membayar jumlah upah kepada saya. Sebelum pergi meninggalkan saya, sempat dia berkata sesuatu yang sangat mengguris perasaan saya.
“Saya ingatkan kerja hantar jenazah ni free. Rupanya ada juga yang minta duit,” kata lelaki itu.
Saya diamkan sahaja. Kalau ikutkan perasaan saya waktu itu sukar diucap dengan kata-kata. Tetapi saya bersabar. Saya tidak mahu mencetuskan suasana tegang. Sebelum minta bantuan, bahasa bukan main sopan dan baik, tetapi selepas dapat bantuan, langsung mereka tidak mengenang semua itu. Mungkin itulah nasib kami sebagai pemandu van jenazah.
Semua itu adalah cabaran untuk kami. Mahu tidak mahu kami kena hadapi semua itu. Kami bukanlah meminta bayaran yang melampau. Kami hanya meminta sedikit kos penghantaran. Kami perlu isi minyak dan juga tol.
Sekiranya keluarga tidak mampu, kami juga ada budi bicara. Tetapi, kalau sampai menghina, saya tidak dapat terima semua itu. Kami bukan peminta sedekah.
Turut baca :
Leave a Reply