Kaitkan insiden 13 Mei: Kit Siang saman Annuar Musa

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berkata dia telah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas pemimpin Umno yang kini menyertai PAS, Annuar Musa.

Ini berikutan dakwaan Annuar yang mengaitkan bekas ahli parlimen Iskandar Puteri itu dengan tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

“Saya telah mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan untuk membersihkan nama saya.

“Bukannya saya tidak berkali-kali menafikan sebelum ini yang saya tidak ada apa-apa kaitan dengan rusuhan 13 Mei 1969,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Annuar ketika berceramah di Bachok Kelantan mengaitkan Lim dengan insiden 13 Mei 1969 sewaktu pilihan raya umum pertama yang disertai DAP pada tahun yang sama.

“Sekali pilihan raya tahun 1969 dia (Kit Siang) berkempen atas nama DAP, sekali pilihan raya pertumpahan darah 13 Mei 1969 berlaku. DAP ada saham besar.

“Tuan-tuan buka ada satu buku yang menulis ucapan-ucapan Lim Kit Siang termasuk di saat pembunuhan berlaku di Kampung Baru, Lim Kit Siang tengah berucap di Kota Kinabalu masih lagi mengapi-apikan isu Bumiputera dan bukan Bumiputera dan sebagainya,” dakwa Annuar di hadapan lebih 1,000 hadirin.

Bagaimanapun Lim memetik laporan Malaysiakini menafikan kewujudan buku berkenaan seperti yang didakwa Annuar.

“Tidak ada buku sebegini. Perkara ini hanyalah secebis khayalan Annuar.

‘”Sebenarnya, saya langsung tidak berada di Kuala Lumpur pada 11, 12, dan 13 Mei 1969, kerana pada pagi 13 Mei, saya telah terbang ke Kota Kinabalu untuk membantu calon bebas dalam hari mengundi di Sabah dan Sarawak yang dijadualkan kemudian.

“Annuar Musa tidak tahu, tetapi polis dan Cawangan Khas ketika itu tahu,” katanya.

Lim berkata dalam ucapannya di parlimen pada Februari 1971, dia menyeru Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk mencari penyelesaian kepada isu itu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersatu, adil dan saksama serta mencari punca berlakunya rusuhan kaum berkenaan.

Mengulas lanjut, Lim berkata perkara pertama dilakukan Annuar setelah menyertai PAS adalah meniru perbuatan presiden parti itu, Abdul Hadi Awang dengan membuat tuduhan liar, tidak berasas, dan tidak dapat dibuktikan.

Katanya, tuduhan Annuar adalah bukti PAS menggunakan penipuan, fitnah, berita palsu dan ucapan kebencian menjelang enam pilihan raya negeri yang bakal berlangsung pada Ogos.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*