Amanah Kelantan akan memulakan langkah menyaman seorang pengguna Facebook yang mengaitkan salah seorang Adun di negeri itu dengan komunis.
Pengarah Biro Undang-undang (Kanun) Amanah Kelantan Hisham Fauzi berkata tindakan individu terbabit jelas menyiarkan tuduhan ke atas Dr Hafidzah Mustakim.
“Kanun Amanah Kelantan sangat kesal atas tuduhan yang dibuat dan kami akan mengambil tindakan lanjut mengikut luinas undang-undang,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Dalam hantaran yang dirujuk Hisham itu, seorang pengguna Facebook mengaitkan Hafidzah dengan Parti Komunis Malaya (PKM) yang didakwanya ditaja DAP.
Lelaki terbabit juga mendakwa keadaan itu berlaku apabila pengundi Melayu “alpa” dengan apa yang berlaku sekarang sehingga “bayangan komunis” dapat bertapak di Kelantan.
Hafidzah merupakan Ketua Angkatan Wanita Amanah Kelantan dan memenangi kerusi DUN Kota Lama dalam pilihan raya negeri (PRN) pada Sabtu lalu.
Hisham berkata tindakan undang-undang itu akan diambil sebagai pengajaran kepada mana-mana pihak yang sewenang-wenangnya menuduh pihak yang tidak sehaluan dengan mereka sebagai musuh negara.
“Kanun Amanah Kelantan juga sangat kesal dengan sikap ditunjukkan mereka itu yang seolah-olah enggan mengiktiraf proses pilihan raya yang berjalan secara demokratik,” katanya.
Sepatutnya kata Hisham mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan PRN baru-baru ini menggunakan saluran yang betul untuk membuat bantahan.
Mereka, tambah Hisham, boleh memfailkan petisyen pilihan raya, bukannya mengeluarkan fitnah terhadap calon yang diisytiharkan menang.
“Saya juga menegaskan bahawa kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas sesiapa saja yang secara terang-terangan menyerang dan menimbulkan fitnah ke atas mana-mana calon PH khususnya Amanah,” katanya.
Leave a Reply