Kain kafan arwah emak sudah 15 tahun dikebumikan ditemui semula

Asalnya kerana mahu mengalihkan jenazah emak yang dikebumikan 15 tahun lalu tetapi siapa sangka hakisan tanah telah menyebabkan kain kafan serta kapas yang digunakan ketika pengebumian turut ditemui semula.

Itu kisah pelik dialami Mohd Amin Samian, 43, antara empat waris yang menyatakan persetujuan untuk memindah kubur ibunya, Sariah@Seringati Omar susulan hakisan tanah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Baru, Bukit Naning, di sini sebulan lalu.

Hakisan disebabkan hujan lebat serta kerja pembersihan parit menyebabkan tiga daripada kubur terbabit terjatuh hingga keranda terkeluar.

“Kami sekeluarga bersetuju supaya dipindahkan memandangkan keadaan kubur arwah ketika ini semakin senget,” kata Mohd Amin.

Menurut Mohd Amin, dia mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan penduduk kampung terbabit.

“Ada empat kubur yang terjejas termasuk arwah emak empat tapi tiga daripadanya sudah terkeluar.

“Kalau tidak bina tembok saya rasa banyak lagi kubur akan terjejas,” katanya ketika ditemui hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Parit Baru, Rosli Abu turut mengakui ada beberapa lagi kubur yang berdekatan bakal terjejas jika tidak dipindahkan.

Katanya, ketika ini hanya empat waris yang berjaya ditemui dan mereka sudah menyatakan persetujuan untuk memindahkannya.

“Cuma beberapa waris lagi gagal dikesan jadi membantutkan usaha kami menemui mereka untuk mendapat persetujuan.

Perbincangan sudah diadakan sebelum ini melibatkan penghulu, ketua kampung, wakil rakyat serta waris.

Kita juga ada membuat perbincangan mengenai kos pemindahan. Urusan mengalihkan jenazah yang terjatuh juga akan diuruskan Majlis Agama Islam Johor (MAINJ).

Ada satu jenazah tinggal kapas sahaja, jadi perkara ini akan diuruskan MAINJ. Urusan ini memerlukan permohonan daripada Majlis Fatwa Negeri dan juga Pejabat Kadi,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Naning, Datuk Mohd Fuad Tukirin berkata usaha memindahkan perlu dilakukan kerana akan bertambah serius jika musim hujan.

Katanya, aliran di parit itu deras boleh menjejaskan struktur kubur berhampiran dan dibimbangi akan menjadi bertambah buruk.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*