Kadar tol boleh turun jika kos pembangunan lebuh raya dikawal – PM

Perdana Menteri Anwar berkata kadar tol mungkin boleh diturunkan jika kos pembangunan lebuh raya dapat dikawal, selain tidak berlakunya ketirisan dan rasuah.

Anwar berkata kos pembangunan lebuh raya sebenarnya boleh dikurangkan namun meningkat disebabkan terlalu banyak bayaran yang dikeluarkan untuk proses kelulusan.

“Ini mesti dihentikan. Saya percaya Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk projek yang seterusnya, pastikan kelulusan disegerakan.

Ini boleh berlaku kalau semua bertanggungjawab dan merasakan ini (projek lebuh raya) projek rakyat, katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) lestari yang pertama di lebuh raya Malaysia di R&R Seremban (Arah Selatan) Lebuhraya Utara-Selatan, di Seremban.

Turut hadir Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi dan timbalannya Ahmad Maslan, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi LLM Hasni Mohammad.

Mengambil contoh projek Rumah Madani di Taman Desa di Kuala Lumpur yang beliau lancarkan baru-baru ini, Anwar berkata kelulusan projek itu berjaya disegerakan atas pertimbangan bahawa keperluan perumahan itu mendesak untuk golongan berpendapatan rendah.

(Kalau) mahu tunggu nak dapat kelulusan dua tahun…kos meningkat, tunggu lama, jadi apabila kita desak, kita tekan, pastikan peraturan diikuti jangan ada ketirisan dan jangan ada orang ambil kesempatan…ia boleh dilakukan, kalau kita ada pendirian jelas, katanya.

Kawasan R&R Seremban (Arah Selatan) itu bukan sahaja menawarkan pelbagai kemudahan demi keselesaan pengguna lebuh raya, tetapi juga berperanan sebagai pemangkin dalam meningkatkan taraf sosioekonomi dengan melahirkan lebih 500 usahawan kecil dan sederhana yang disokong ribuan pembekal daripada komuniti setempat.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*