Jual barangan berjenama palsu, 3 berdepan 2 tahun penjara jika gagal bayar denda RM175,950

Jual barangan palsu, 3 berdepan 2 tahun penjara jika gagal bayar denda RM175,950. Dua pengarah syarikat dan seorang pengurus masing-masing didenda RM175,950 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan menjual 17,595 pasang kasut dan selipar berjenama palsu tiga tahun lepas.

Hakim Norashima Khalid turut memerintahkan pengarah syarikat Yap Kian Seng, 60, dan Sun Haixia, 40, serta pengurus Yap Yin Keat, 50, dipenjara dua tahun, jika gagal membayar denda.

Bernama melaporkan hakim juga mengenakan denda RM263,925 ke atas Enhengda Sdn Bhd atas pertuduhan itu.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, barangan berjenama palsu itu melibatkan 2,290 pasang selipar jenama Puma, 12,011 pasang kasut dan selipar jenama Nike, 2,844 pasang kasut jenama Gucci serta 450 pasang selipar jenama Levi’s pelbagai saiz dan jenis.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis tanpa nama di nombor 5 & 7, Hala Perusahaan Kledang Utara 2, Kawasan Perindustrian Menglembu di Ipoh, Perak kira-kira 11.30 pagi 18 Dis 2019.

Pertuduhan ke atas tiga individu itu dibuat mengikut Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8(2)(B) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Syarikat pula didakwa mengikut Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8(2)(A) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM15,000 untuk setiap barangan yang diletakkan perihal dagangan palsu, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan hukuman sehingga proses rayuan di Mahkamah Tinggi Ipoh selesai, dengan semua tertuduh diikat jamin RM50,000 setiap seorang.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Muhammad Ridzuan Abd Rahim, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Mohd Asri Osman dan Mohd Fitri Asmuni.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*