Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mengingatkan semua calon dan penyokong parti politik berkempen secara sihat, menunjukkan akhlak baik serta tidak membangkitkan isu agama dan kaum pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sangat signifikan selepas memperkenankan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan. Kita yakin hasrat sama turut dikongsi Sultan Kedah dan Sultan Kelantan, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang yang negeri baginda semua turut terbabit dalam proses demokrasi itu.
Hakikatnya, peringatan Sultan Selangor dan Sultan Terengganu itu tidak hanya terpakai kepada pemimpin, calon dan jentera parti politik atau gabungan yang bakal bertanding, bahkan perlu diberikan perhatian semua termasuk penyokong dan individu yang berselindung di sebalik kedudukan pempengaruh atau pengguna media sosial. Kita melihat isu agama dan kaum dibangkitkan pada kempen pilihan raya selalu diburukkan lagi dengan semangat dan keghairahan penyokong untuk mengulas sesuatu kenyataan berbaur dengan kedua-dua elemen itu, bahkan menambah lagi ibarat pepatah hendak ‘memadam api tengah menyala, disiramkan minyak pula ke atasnya’.
Pada masa sama, pemimpin parti politik sendiri perlu menunjukkan teladan baik dengan memastikan kempen dilaksanakan jentera masing-masing tidak mengeksploitasi isu agama dan kaum serta tidak boleh berlepas tangan serta berselindung di sebalik alasan ‘bukan pihak kami mulakan’ atau ‘tidak mewakili parti’. Mereka perlu bertanggungjawab terhadap sebarang kempen yang boleh membangkitkan atau mengapi-apikan isu sensitif itu serta mengarahkan jentera agar mengikut lunas undang-undang serta mendukung Rukun Negara terutama Kesopanan dan Kesusilaan.
Kita mendesak pihak berkuasa untuk menubuhkan pasukan khas membabitkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memantau sebarang kempen sama ada dalam bentuk teks, gambar mahupun video yang memanipulasi sentimen agama dan kaum. Kita tidak mahu mendengar lagi alasan seperti SPR tidak ada kuasa perundangan sedangkan ada Akta Kesalahan Pilihan Raya yang jelas melarang kempen seumpama itu, selain peruntukan seperti Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta SKMM.
Kita tidak mahu kempen mengeksploitasi isu agama dan kaum seperti berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berulang lagi kerana risiko sangat besar terhadap keharmonian masyarakat serta keamanan negara. Kita menyeru semua pihak untuk menjunjung titah Sultan yang sebenarnya sebelum ini sudah banyak kali dijadikan pesan dan amanat oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah jika benar mereka semua mempertahankan kedudukan Institusi Beraja serta keluhuran Perlembagaan di negara ini.
- Turut baca : Salahuddin perjelas punca ‘ikan rakyat naik harga’
Leave a Reply