Seorang wanita mendakwa dirinya diperlakukan dengan tidak adil apabila kakinya diseret oleh bas yang dinaikinya di sebuah terminal bas di Shah Alam, kelmarin.
Menerusi ciapan Nurul Shafiyyah, kejadian malang yang berlaku kira-kira pukul 9.30 malam itu berlaku ketika dia baru sahaja tiba di Shah Alam dari Johor Bahru.
Ujarnya, ketika dia ingin mengambil bagasi di tempat penyimpanan bawah, pintu jenis hidraulik tersebut tiba-tiba tertutup dan bas mula bergerak membuatkan separuh kakinya yang berada di luar bas terseret di atas jalan raya.
“Bayangkan lepas dia tutup pintu tu, bas terus jalan. Kaki dah tentunya terseret dekat jalan tar. Jerit minta tolong tapi tiada siapa yang mendengar.
“Cubalah bayangkan macam mana saya tersekat dekat bawah tu dengan betis tersangkut dengan pintu. Badan kat dalam, kaki di luar. Jari kaki dah bergesel dengan jalan raya,” ciapnya.
Tambah wanita berkenaan, bas tersebut mula berhenti hanya selepas pemandu tersebut perasan ada sesuatu yang terkeluar dari tempat penyimpanan bagasi menerusi cermin pandang sisi.
Jelasnya, pemandu bas tersebut kemudiannya turun dan menyedari wanita itu tersepit dan segera membawanya ke klinik berdekatan untuk rawatan lanjut.
Selepas itu bas tersebut dipercayai meneruskan perjalanan ke Klang selepas menurunkan penumpang di Shah alam.
“Malam tu saya tak boleh tidur, memikirkan agaknya kalau sampai Klang dia (pemandu bas) tak perasan saya, rasanya saya ada kaki lagi ke?
“Jadi saya nak minta pendapat, boleh ke tuntut insurans atau apa-apa? Sebab pak cik saya dah bawa pergi buat laporan polis, tapi saya tak tahu lagi apa nak buat,” katanya.
Dalam ciapan tersebut, Nurul Shafiyyah memuat naik satu gambar laporan polis yang dibuat beserta bukti-bukti lain seperti tiket bas yang dinaikinya.
Selain itu, mangsa turut memuat naik beberapa keping gambar memaparkan kecederaan di kaki dan lebam di bahagian betis akibat kecuaian pemandu bas terbabit.
Turut baca :
Leave a Reply