Mangsa bot hanyut di Sungai Johor, Teluk Sengat, Kota Tinggi, Ahad lalu, yang mengakibatkan seorang remaja lemas, berkongsi detik cemas dihadapi selepas terpaksa bergelut dengan ombak besar dan arus deras untuk menyelamatkan diri.
Muhammad Firhan Karim, 23, berkata, dia cuba mengapungkan diri dalam keadaan badan yang sudah lemah dan kedua-dua kakinya kejang.
Dalam keadaan cemas itu, dia turut mendengar suara Adam Benjamin Rosman, 15, yang meninggal dunia dalam insiden itu, menjerit meminta tolong dan melaungkan takbir (Allahuakbar) sebanyak tiga kali sebelum tenggelam.
“Saya bergelut untuk mengapungkan diri dalam keadaan sudah tiada tenaga. Pada masa itu, air sudah masuk dalam tekak dan mata kabur, rasa mahu pitam. Saya hanya ingat Allah dan sebut kalimah Allah.
“Tiba-tiba datang ribut membawa gelombang besar dan menenggelamkan saya. Ketika ini saya terdengar jeritan Adam beberapa kali meminta tolong dalam keadaan tangannya terkapai-kapai.
“Kemudian, saya mendengar dia jerit Allahuakbar sebanyak tiga kali sebelum tenggelam,” katanya ketika hadir upacara pengebumian jenazah Allahyarham Adam Benjamin di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai, Pasir Gudang di sini, hari ini.
Dalam kejadian Ahad lalu, Muhammad Firhan bersama Adam Benjamin dan Irfan Mohamad Faizal, 21, pergi memancing dengan menaiki bot di sungai berkenaan.
Disebabkan hujan lebat dan angin kencang, mereka berhenti memancing dan berteduh di struktur tiang pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran lokasi kejadian.
Mereka mendakwa tali bot fiber yang diikat pada struktur tiang pencawang TNB itu kemudian terputus dan bot mereka hanyut, sebelum Adam Benjamin terlebih dahulu terjun untuk menyelamatkan bot daripada terus hanyut diikuti Muhammad Firhan dan Irfan.
Ketiga-tiga rakan itu dibawa arus deras dan terpisah antara satu sama lain sebelum Muhammad Firhan berjaya menyelamatkan diri, manakala Irfan diselamatkan pekerja warga asing berhampiran rumah rakit.
Mayat Adam Benjamin kemudian ditemui dalam keadaan terapung pada jam 3.30 petang semalam, selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Bercerita lanjut, Muhammad Firhan berkata, selepas ditenggelamkan ombak besar, dia cuba mengumpul semula kekuatan untuk mengapungkan diri.
Menurutnya, selepas berterusan menyebut kalimah Allah, kira-kira 10 minit, berlaku satu keajaiban apabila bot yang hanyut sebelum ini tiba-tiba menghampirinya selepas ditiup angin kencang.
“Bot yang hanyut itu tidak terbalik dan semua barang serta peralatan termasuk telefon bimbit masih berada dalam bot.
“Saya berjaya masuk semula ke dalam bot sebelum segera menghantar mesej kepada abang saya, Muhamad Faizal, 29, untuk meminta bantuan,” katanya.
Sementara itu, Muhamad Faizal berkata, dia yang kebetulan berada di Jeti Sungai Penderam bergegas dengan seorang rakan sekampung ke lokasi kejadian selepas menerima Whatsapp jam 2.55 petang.
“Saya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk ke lokasi dan apabila tiba mendapati Muhammad Firhan sudah terlentang dalam bot. Usaha mencari Irfan dan Adam Benjamin kemudian dilakukan bersama-sama pasukan menyelamat.
Baca juga :
- Terlalu ramai anak muda Kelantan banjiri kelab malam di Golok, terpaksa tunggu ‘syif’ untuk berhibur
- Pokok getah tertua hampiri nilai RM1 juta – Kat mana ni?
- {VIDEO} ‘Biasa Jumaat tak ramai penggali kubur… Lelaki kongsi kisah pengakhiran hidup seorang remaja perempuan
“Irfan berpaut pada tong gas kecil selama hampir 40 minit sebelum diselamatkan. Selepas itu, kami mencari Adam Benjamin di kawasan perairan Pelabuhan Johor sehingga ke sempadan Singapura, tetapi tidak berhasil,” katanya.
Muhamad Faizal mendakwa kejadian itu adalah kali kedua berlaku pada adiknya dan Adam Benjamin, tetapi sebelum ini berjaya diselamatkan.
Pada masa sama, ibu kepada Adam Benjamin, Nur Hidayah Abdul samad, 40, bersyukur kerana upacara pengebumian anak lelakinya itu berjalan lancar.
Suri rumah itu berkata, anak keempat daripada tujuh beradik itu sudah meminta izin daripadanya untuk pergi memancing bersama-sama rakannya pada hari kejadian.
Leave a Reply