Jasad budak 2 tahun jatuh longkang ditemukan lemas

Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemukan lemas hari ini di Bukit Baru, Melaka, setelah dilaporkan hilang sejak semalam, dipercayai terjatuh ke dalam longkang.

Mayat Muhammad Danish Mohd Faizal ditemukan pada 9.30 pagi di Taman Desa Baru, kira-kira 1.3km dari lokasi asal dia dipercayai terjatuh oleh seorang lelaki yang kemudian memaklumkan perkara itu kepada Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Melaka.

Pegawai Zon 1 Bomba Melaka Zulkhairani Ramli berkata, mangsa ditemukan dalam longkang selebar 4.6m pada kedalaman hampir 2m selepas pencarian dilakukan hampir 18 jam sejak petang semalam.

“Orang awam ada bagi maklumat kepada kami ada satu objek timbul di kawasan Taman Desa Baru, jadi kami hantar anggota ke lokasi dan membuat pemeriksaan dan mendapati objek tersebut adalah mayat kanak-kanak tersebut dalam keadaan sempurna,” katanya, lapor Bernama.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Dilaporkan semalam kanak-kanak tersebut disedari hilang kira-kira 3.30 petang sewaktu ibu bapanya sedang berniaga nasi kerabu di Taman Goodwood.

Mangsa ketika itu sedang bermain dengan abangnya berdekatan longkang yang dipenuhi air berikutan hujan lebat sejak tengah hari.

Kehilangannya disedari oleh keluarganya setelah menemukan selipar mangsa di kawasan berumput berdekatan dan mereka memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa setelah mencarinya selama 20 minit.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*