Ucapan romantik yang dititahkan baginda tuanku, Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bikin hati ramai rakyat berbunga-bunga.
Penghargaan yang dilafazkan buat Raja Permaisuri Agong, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah disusuli dengan pelukan selepas menyampaikan titah pada Majlis Jamuan Negara sempena tamat pemerintahan ke-16 di Istana Negara malam tadi meraih perhatian ramai.
Menurut titah baginda, Tunku Azizah sentiasa bersama Seri Paduka ketika berkunjung ke setiap pelosok negara dan tidak pernah lekang daripada menyantuni rakyat jelata.
“Buat Adinda Raja Permaisuri Agong, kekanda amat bertuah kerana telah berjaya menawan hati adinda 38 tahun yang lalu.
“Kekanda turut bersyukur serta berbangga kerana adinda turut berjaya menambat hati rakyat Malaysia sepanjang lima tahun yang lalu,” titah Seri Paduka.
Pada masa sama, baginda tuanku tidak dapat menahan sebak ketika berkenan menyampaikan titah pada majlis yang turut dihadiri pemimpin negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersama isterinya.
Malah, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sudi menerima kehadiran Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong.
“Lumrah dunia, setiap yang bermula pasti akan berakhir dan setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan. Justeru, sudah sampai masanya untuk saya dan Raja Permaisuri Agong mengundur diri.
“Saya akan berangkat pulang ke Pahang dengan satu perasaan yang sedih, gembira dan bersyukur kerana amanah ini telah saya laksanakan dengan sepenuh kudrat keupayaan dan keikhlasan hati saya,” titah baginda.
Perkongsian foto menerusi Instagram @malaysia.royalfamily turut mendapat reaksi positif ramai pengikutnya yang turut mendoakan kesejahteraan buat pasangan diraja tersebut.
Kongsi Hasmin Abdul, dalam ramai-ramai Agong, tuanku dan permaisuri adalah the best Agong.
“Semoga Tuanku berdua sentiasa dirahmati oleh ALLAH SWT.”
Tulis @admhkmz: “Daulat Tuanku. Terima kasih Tuanku semoga Tuanku sekeluarga sentiasa diberikan kesihatan dan umur yang panjang. Aminn.”
Seorang lagi netizen, @memento.5125 berkongsikan komentar bahawa YDPA dan Permaisuri seorang adventurous dan sentiasa bersama.
“Sangat aktif bersama rakyat. Permaisuri bak ibu-ibu kepada rakyatnya. Moga dikurniakan usia yang panjang.
“Bertuah sungguh rakyat Pahang berajakan Tuanku,” tulisnya.
Turut baca :
Leave a Reply