Jangan ‘tipu’ harga beras – Salahuddin

Pengilang padi, pemborong dan peruncit di pasar raya atau kedai runcit akan diperiksa untuk mencegah penyelewengan yang boleh memberi kesan kepada bekalan beras.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub berkata pemeriksaan melalui Op Jamin selama sebulan itu dijalankan dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Pemeriksaan ini bagi memastikan keterjaminan bekalan beras putih tempatan dan beras putih import sentiasa mencukupi dengan harga yang terkawal,” katanya menurut selepas melawat sebuah pasar raya di Gombak.

Beliau berkata pihaknya sentiasa serius isu penyelewengan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang menukar bungkusan atau label beras putih tempatan serta menjual dengan harga beras putih import.

“Kami ingin memberikan peringatan kepada semua pengilang, pemborong dan peruncit, agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan, termasuklah tidak mengambil kesempatan dengan melakukan penyelewengan ke atas penjualan beras dengan menukar bungkusan beras putih tempatan kepada beras putih import dan dijual pada harga yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kawalselia Padi Dan Beras Azman Mahmood berkata pihaknya telah menerima satu aduan di Selangor, dan telah mengambil tindakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menaikkan harga beras tempatan daripada RM26 kepada RM26.60.

“Daripada tangkapan tersebut, kita telah membuat rampasan dan kita telah dakwa mereka di mahkamah…tentang aduan berkenaan isu penukaran bungkusan beras pula belum ada aduan rasmi,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*