Jangan terus api-apikan kemarahan isu stoking, titah Agong

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan semua pihak berhenti mengambil kesempatan ke atas isu stoking tertera kalimah Allah yang tercetus susulan penjualannya di kedai serbaneka KK Mart.

Baginda menegaskan isu terbabit seharusnya diselesaikan menerusi proses perundangan sedang berjalan, merujuk pendakwaan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, semalam termasuk membabitkan pengasas KK Mart, Chai Kee Kan.

“Saya telah menitahkan untuk tindakan diambil mengikut lunas undang-undang, maka tidak perlu lagi untuk mana-mana pihak terus mengapi-apikan kemarahan secara berterusan.

“Tindakan diambil bukanlah untuk menghukum semata-mata, tetapi sebagai pengajaran dan peringatan kepada semua untuk menjaga sensitiviti rakyat Malaysia,” titah Sultan Ibrahim di Facebooknya.

Baginda bertitah masyarakat harus mengambil iktibar daripada kejadian itu sambil menegaskan kemarahan berlarutan tidak menguntungkan sesiapa.

“Semua pihak terutamanya pemimpin masyarakat perlu bertindak matang. Ajaklah rakyat ke arah perpaduan, bukan perpecahan.

“Inilah peluang untuk mendapat pemahaman yang lebih baik antara satu sama lain dalam masyarakat kita yang majmuk, agar perkara sebegini tidak berulang lagi,” titahnya.

Selain Chai, turut didakwa pengarah KK Mart Loh Siew Mui yang juga isterinya atas tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam dengan menjual stoking itu, manakala tiga pengarah Xin Jian Chang didakwa bersubahat. Semua mereka mengaku tidak bersalah.

KK Mart menjadi tumpuan mutakhir ini susulan pembongkaran beberapa pasang stoking tertera kalimah Allah dijual di sebuah rangkaiannya pada 13 Mac.

Chai memohon maaf atas kontroversi itu pada sidang media 16 Mac lalu, disertai pengurusan tertinggi syarikat dan pemilik Xin Jian Chang, Soh Chin Huat. Mereka berkata stoking tersebut diimport dari China.

Puluhan laporan polis terhadap KK Mart diterima polis, manakala Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menyeru masyarakat memboikot rangkaian kedai serbaneka itu.

Kilang Xin Jian Chang di Batu Pahat menutup sementara operasinya.

Sultan Ibrahim sebelum itu, menzahirkan kemurkaan terhadap kontroversi dan menitahkan tindakan keras dikenakan kepada pihak bertanggungjawab.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*