Seorang janda dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menyamar sebagai staf Bank Negara untuk menipu ibu angkatnya sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM39,450, empat tahun lalu.
Tertuduh, Norhana Adam, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah memperdayakan seorang wanita warga emas berusia 64 tahun dengan menyamar sebagai staf Bank Negara bagi meminta wang proses pinjaman yang kononnya ada dimohon olehnya.
Perbuatan itu mendorong wanita itu membuat bayaran berjumlah RM39,450 sebanyak 19 kali ke dalam akaun bank milik tertuduh yang mana mangsa tidak akan melakukannya sekiranya tidak diperdaya sedemikian.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah beralamat di Kampung Alai dalam daerah Melaka Tengah antara 16 November 2020 hingga 9 Februari 2021.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta hendaklah dikenakan denda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, tertuduh memperdayakan mangsa yang juga ibu angkatnya dengan memberitahu warga emas itu bahawa dia ada membuat permohonan pinjaman bank dan perlu membuat bayaran proses bagi tujuan tersebut.
Tertuduh kemudian telah menyamar sebagai pegawai bank untuk meminta sejumlah wang.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh.
Tertuduh diwakili Peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan atas alasan dia telah bercerai dan hanya hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan bayaran upah RM40 sehari.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Khairunnisak membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 19 Ogos ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.
Sebelum ini, tertuduh turut dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini pada 21 Jun lalu atas pertuduhan menyamar sebagai pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka untuk menipu rakannya sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM416,000, tahun lalu.
Tertuduh telah menggunakan nama samaran Manja Bunga Lestari untuk menipu mangsa yang juga seorang warga emas.
Turut baca :
Leave a Reply