Jana Wibawa : Timbalan ketua Bersatu Segambut mengaku tak salah minta, terima rasuah RM500,000

Ahli perniagaan Adam Radlan Adam Muhammad mengaku tidak bersalah atas dakwaan meminta dan menerima rasuah RM500,000 berhubung inisiatif Jana Wibawa.

Beliau yang juga timbalan ketua Bersatu Segambut membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen di sini, di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Dua pertuduhan dibaca dengan Adam mengaku tidak bersalah terhadap dua dakwaan itu.

Pertuduhan pertama, Adam didakwa meminta suapan wang tunai 3.5% hingga 7% daripada nilai projek diperoleh daripada pengarah urusan syarikat MIE Infrastruktur dan Energy Sdn Bhd, sebagai dorongan mendapat surat setuju terima bagi projek Jana Wibawa.

Kesalahan itu didakwa berlaku sekitar Mac 2021, di sebuah restoran di Dutamas.

Dalam pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima rasuah sebanyak RM500,000 daripada Mat Jusoh sebagai upah mendapatkan sebuah projek pembinaan jalan di Perlis, melibatkan kos RM47.8 juta.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 26 Nov 2021, di Cawangan CIMB Bukit Tunku, di sini.

Kedua-dua tuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum bawah Seksyen 24 (1) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Suzana kemudian menetapkan Adam dibenar ikat jamin RM120,000 berserta dua penjamin.

Beliau juga mengenakan syarat tambahan untuk Adam menyerahkan pasportnya sehingga kes selesai dibicarakan.

Selain itu, hakim juga menetapkan Adam melaporkan diri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan sehingga tarikh perbicaraan.

Hakim kemudian menetapkan tarikh sebutan kes, pada 23 Mac.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh, manakala peguam Rajan Navaratnam dan Roshan Selvaratnam mewakili tertuduh.

Terdahulu, Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan minta dibicarakan atas dakwaan menerima rasuah hampir RM7 juta berhubung inisiatif Jana Wibawa.

Semalam, Wan Saiful dan ahli perniagaan Adam Radlan Adam Muhammad, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan Jana Wibawa.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*