JAIS arah tangguh semua ceramah ustaz Don Daniyal

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesahkan mengeluarkan arahan penangguhan ceramah atau pengajaran pendakwah popular ustaz Don Daniyal Don Biyajid di negeri itu pada 21 Jun lalu.

Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad, berkata ini susulan beberapa isu mengenai pengajaran agama Islam daripada ustaz itu yang disyaki membawa kepada pelanggaran beberapa ketetapan dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Beliau berkata, ini selaras titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menekankan kepada semua pemegang tauliah supaya memberi kefahaman Islam yang tepat berdasarkan sumber sahih mengikut disiplin ilmu Islam dalam kalangan umat Islam.

“Jais perlu menghentikan perkara seumpama ini dengan segera supaya tidak berleluasa di Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mesyuarat jawatankuasa tauliah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) semalam memutuskan Don Daniyal mengemukakan kenyataan bertulis berkaitan beberapa fakta mengenai ceramah agamanya.

“Ini selaras dengan Peraturan 17 (b), (d) dan (f) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 supaya penggantungan atau penarikan semula tauliah oleh jawatankuasa tidak dilaksanakan terhadap beliau,” katanya.

Menurut Shahzihan, satu kertas siasatan juga dibuka terhadap Don Daniyal mengikut Seksyen 7, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 susulan beberapa aduan diterima.

“Jais amat berharap semua pihak di Selangor dapat bekerjasama dan mematuhi arahan untuk tidak mengundang atau membatalkan, sesi ceramah membabitkannya sehingga sebarang keputusan dimuktamadkan Mais,” katanya.

Pada 5 Jun lalu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dilaporkan ‘merehatkan’ Don Daniyal daripada program Salam Baitullah selepas terdapat pertikaian mengenai sejarah hidup Nabi Muhammad.

Salam Baitullah adalah rancangan RTM yang bersiaran pada musim haji bermula 2 Jun hingga 17 Jun.

Dalam program itu, Don Daniyal mendakwa Nabi Muhammad pernah melamar seorang wanita dikenali sebagai Ummu Hani sebanyak tiga kali.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*