Sepasang suami isteri bergelar Datuk dan Datin ditahan kerana disyaki menjadi ejen pembantu rumah asing haram dalam serbuan di Shah Alam minggu lalu.
Pasangan berusia 56 dan 66 tahun itu ditahan pada 16 Feb lalu, hasil aduan orang awam dan risikan Jabatan Imigresen.
Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata, dua suspek itu mengurus kemasukan dan pembekalan pembantu rumah secara haram bersama ejen dari Indonesia.
Katanya, 13 wanita warga Indonesia yang berusia 22 hingga 47 tahun turut ditahan dalam serbuan itu.
“Warga Indonesia itu akan dibekalkan sebagai pembantu rumah dan juga pekerja pembersihan. Mereka akan dikenakan RM3,500 hingga RM4,500 seorang sebagai bayaran perkhidmatan mengurus kemasukan yang akan dipotong melalui gaji bulanan.
“Siasatan awal mendapati pembantu rumah tersebut memasuki negara ini dengan menyamar sebagai pelancong menggunakan pas lawatan sosial. Lokasi serbuan merupakan rumah kediaman pasangan itu yang turut dijadikan tempat tinggal warganegara Indonesia terbabit,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, suami isteri itu disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen kerana disyaki membenarkan pendatang tanpa izin memasuki atau tinggal dalam premis.
“Kes itu turut dirujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja berkait aktiviti pengambilan dan pembekalan pekerja yang dijalankan tanpa lesen sah.”
Katanya, Jabatan Imigresen sentiasa memantau aktiviti penawaran pembantu rumah asing dan pekerja pembersihan harian secara tidak sah, termasuk di media sosial.
Leave a Reply