Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan Jabatan Penjara Malaysia tidak menerima sebarang Titah Adendum daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah namun sebaliknya hanya menerima surat dari Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri mengenai pengurangan hukuman dan denda terhadap Najib.
Ujarnya, pada 2 Februari 2024, Kementerian Dalam Negeri(KDN) menerima surat rasmi yang mengandungi minit mesyuarat rahsia Lembaga Pengampunan serta perintah pengurangan hukuman.
Najib diberi pembebasan awal pada 23 Ogos 2028, dengan denda dikurangkan kepada RM50 juta. Jika denda tidak dibayar, tempoh penjara akan ditambah setahun, menjadikan tarikh pembebasan pada 23 Ogos 2029.
Beliau memaklumkan, perintah ini ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Zaliha Mustafa.
Saifuddin menegaskan, surat yang diterima tidak menyebut tentang tahanan rumah. Jabatan Penjara melaksanakan perintah berdasarkan arahan rasmi Lembaga Pengampunan. Beliau turut menolak dakwaan bahawa KDN atau Jabatan Penjara menyembunyikan keputusan berkaitan Najib.
Dalam hujah rayuan Najib, peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mendakwa Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2023 wujud dan ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong, tetapi tidak didedahkan.
Anaknya, Datuk Mohamad Nizar, dikatakan mengetahui tentang dokumen itu melalui surat istana pada 2 Disember 2023. Namun, Saifuddin menegaskan tiada komunikasi daripada Istana Pahang kepada KDN mengenai titah tambahan tersebut, dan isu tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam dokumen rasmi.
Baca juga :
Leave a Reply