
Jabatan Imigresen Sabah sedang bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan pihak polis bagi mengesan individu yang membocorkan maklumat operasi penguat kuasa di Keningau baru-baru ini menerusi aplikasi WhatsApp.
Menurut Pengarah Imigresen Sabah, Sh Sitti Saleha Habib Yusof, individu terbabit bukan sahaja menyebarkan maklumat mengenai operasi imigresen tetapi turut merakam gambar kenderaan jabatan dan memaklumkan pergerakan anggota kepada pihak tertentu.
“Pergerakan (anggota imigresen) pun diiringi tonto, maklumat mereka hantar khusus memaklumkan ke dalam kumpulan WhatsApp bahawa ada operasi di kawasan tersebut,” katanya kepada pemberita di Tawau.
Beliau menegaskan bahawa hebahan tidak bertanggungjawab ini telah menjejaskan operasi jabatan dan memberi peluang kepada pendatang tanpa izin untuk melarikan diri.
Sh Sitti Saleha berkata siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti pihak yang terlibat dalam penyebaran maklumat operasi ini.
“Kita akan cari mereka ini melalui risikan dan akan mendapatkan bantuan Kementerian Komunikasi selain kita juga sebenarnya bekerjasama dengan polis tujuan menyelesaikan perkara ini,” tambahnya.
Menurut beliau, sebahagian daripada individu yang menyebarkan maklumat ini dipercayai adalah warga asing yang bersekongkol dengan pendatang tanpa izin bagi mengelakkan serbuan pihak berkuasa.
Dalam pada itu, Jabatan Imigresen Sabah berjaya menahan seramai 139 warga asing dalam operasi di Tawau dan Semporna yang bermula semalam dan berakhir pagi tadi.
Kesemua individu yang ditahan didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Pihak berkuasa memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menggagalkan usaha kerajaan dalam menangani masalah pendatang tanpa izin di negeri ini.
Baca juga :
Leave a Reply