“Itu tidak betul…” Tiada siapa masuk penjara kerana cermin gelap

Tiada lagi pemilik kenderaan persendirian yang ingkar peraturan penggunaan cermin gelap dibawa ke mahkamah dan dipenjarakan, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Beliau berkata, perkara itu disahkannya dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Maksudnya tak timbul soal bahawa kalau salah guna cermin gelap itu akan dipenjarakan.

“Saya harap (ini beri) penjelasan kepada orang ramai (iaitu) tidak sampailah kerajaan mahu penjarakan orang sekiranya salah guna cermin gelap,” katanya ketika penggulungan perbahasan Belanjawan 2024 peringkat kementerian di Dewan Rakyat.

Loke menjelaskan dakwaan di media sosial seolah-olah menggambar dan mentafsirkan kenyataan JPJ bahawa pemilik kenderaan yang ingkar peraturan penggunaan cermin gelap akan dipenjarakan.

“Itu sebenarnya tak betul,” katanya.

Pada 6 Okt lalu, JPJ mengingatkan pemilik kenderaan persendirian mematuhi peraturan penggunaan cermin gelap dan mereka yang ingkar boleh dikenakan hukuman denda RM2,000 atau penjara enam bulan.

JPJ berkata, peraturan diwartakan bawah Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-jenis Kaca Tertentu) 1991 (Pindaan 2019) menetapkan kadar ketelusan cahaya (VLT) cermin kenderaan yang dibenarkan adalah 70% bagi cermin hadapan, 50% cermin tepi sisi kiri kanan pemandu dan 0% bagi cermin sisi bahagian belakang dan cermin belakang.

Sementara itu, Loke menjelaskan hukuman bagi mereka yang ingkar peraturan penggunaan cermin gelap adalah dikenakan kompaun terlebih dahulu.

Beliau berkata, dari segi undang-undang jika mana-mana pihak tidak mengikuti dan mematuhi peraturan jalan raya, mereka akan diberi peluang untuk membayar kompaun.

“Jika mereka tak bayar (barulah) boleh (dibawa) ke mahkamah. Itu ‘general’…hakikatnya apa dikenakan hanya kompaun,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*