Isu Pulau Pinang milik Kedah : PM persoal Sanusi timbulkan isu kerana ‘gelojoh kuasa’

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan sikap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang cuba mengekalkan kuasa dengan mengeluarkan kenyataan mendakwa Pulau Pinang adalah milik Kedah.

Malah, beliau menyifatkan Sanusi sebagai seorang yang tidak bertanggungjawab kerana mengeluarkan kenyataan sedemikian dan bersetuju bahawa kenyataan seperti itu dibuat kerana mahu memecah belahkan rakyat demi ‘kuasa’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan dalam masa terdekat.

“Apakah kerana nak gelojoh kuasa (untuk memenangi) PRN, kita korbankan prinsip Perlembagaan dan timbulkan hura-hara? Ini silapnya, dan ini menyebabkan timbul permasalahan ini.

“Kita sudah merdeka lebih enam dekad, parti-parti memerintah sama ada UMNO-Barisan Nasional (BN), Pas dan Pakatan Harapan (PH), serta Pas dan Perikatan Nasional (PN), tidak pernah dibangkitkan, melainkan seorang ketua (Sanusi) yang tidak bertanggungjawab yang sanggup melanggar prinsip undang-undang,” katanya di Dewan Rakyat hari inu.

Beliau menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta Perdana Menteri menyatakan tindakan ke atas gesaan Menteri Besar Kedah, bahawa Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk padamkan Pulau Pinang agar boleh dikembalikan kepada Kedah, yang telah memecah-belahkan perpaduan rakyat khususnya menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk negeri Pulau Pinang serta mengancam keharmonian dan keselamatan dalam negara.

Menjawab lanjut, Perdana Menteri menegaskan, pihaknya telah mendapat beberapa dokuman termasuk laporan polis yang mengesahkan bahawa Sanusi secara tidak bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan termasuk menuntut supaya Perlembagaan Malaysia dipinda bagi mengembalikan Pulau Pinang kepada Kedah.

Justeru, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menyerahkan sepenuhnya siasatan terhadap kes tersebut kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan sesuai mengikut peruntukan undang-undang.

“Sebagai seorang yang ada kedudukan, kenyataan tak bertanggungjawab dan pihak polis telah melakukan siasatan berdasarkan beberapa perurtnukan undang-undang sedia ada untuk mengambil tindakan yang sesuai bagi menghindari daripada penerusan kenyataan-kenyataan yang melanggar prinsip Perlembagaan dan undang-undang termasuk di bawah kanun keseksaan dan Akta Hasutan.

“Sebahagian laporan telah dikemukakan kepada Peguam Negara dan menunggu tindakan Peguam Negara,” tegasnya.

Sebelum ini, Sanusi menegaskan Pulau Pinang adalah di bawah hak milik Kedah, yang mana ketika ini Perak dan Perlis adalah satu-satunya negeri yang mempunyai sempadan dengan negeri itu.

Sanusi berkata, sebaliknya Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Mutiara itu masih hak Kedah.

Pada 31 Mei lalu, Guan Eng yang juga Pengerusi DAP, menggesa penduduk Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap Muhammad Sanusi atas dakwaannya itu.

Susulan itu pada 1 Jun lalu, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer membuat laporan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung dakwaan terbarunya bahawa Pulau Pinang milik Kedah.

Laporan tersebut dibuat di balai polis Jalan Patani atas kerelaan dirinya sebagai warga Pulau Pinang serta bagi mewakili DAP.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*