Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan dirinya memilih untuk dipenjara berbanding membayar denda jika mahkamah mensabitkan kesalahan susulan ucapannya yang didakwa mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, adalah lebih baik wang tersebut disalurkan kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) daripada membayar denda.
“Saya sedia menunggu untuk dibicarakan di mahkamah dan saya sedia dihukum. Tidak tahu dihukum sama ada penjara atau denda. Saya pilih penjara, daripada denda, baik bagi kepada Pasti.
“Dan saya percaya, kalau saya dihukum nanti, sudah tentulah saya tidak layak lagi menjadi Ahli Parlimen. Maka, pilihan raya kecil (PRK) pula berlaku di Marang. Arau (Datuk Seri Shahidan Kassim) boleh bertanding selepas itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.
Pada 26 Ogos lalu, Abdul Hadi ketika berucap dalam Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) Johor di Markas Pas Kawasan Bakri mendakwa, cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah adalah tidak sesuai dengan apa yang diajarkan Islam.
Menurut Abdul Hadi, pihak yang berhak memberikan pengampunan adalah ahli keluarga seseorang yang menjadi mangsa jenayah, bukannya Lembaga Pengampunan.
Susulan kenyataannya itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini dilapor menyatakan bahawa kertas siasatan Abdul Hadi sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.
Leave a Reply