Isu pemerdagangan manusia : Tunggu bantuan Putrajaya ‘lambat’, ibu mangsa luah rasa kesal

Seorang warga emas berkata, anaknya yang dikurung dan diseksa oleh sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar sudah berputus asa menunggu bantuan dari Putrajaya.

“Pagi ini saya menangis. Anak saya mahu lompat dari bangunan KK Park Garden. Dia nak bunuh diri. Dia tanya Myanmar sangat dekat, kenapa tak ada orang datang (selamatkan)? Apa sudah jadi dengan kerajaan kita?

“Ini dah terlalu lewat. Kita (kerajaan Malaysia) terlalu lewat. Apa yang kamu tunggu lagi? Nak tunggu mayat ke? Myanmar biadab. (Media) Tulis besar-besar, biadab,” kata wanita itu sambil mengusap dada dan perutnya menahan sebak apabila menceritakan kisah anaknya di Myanmar.

Ibu malang itu hadir bersama wakil Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) untuk menghantar memorandum kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Putrajaya bagi menggesa badan dunia itu membantu menyelamatkan rakyat Malaysia yang terkandas di Laos dan Myanmar.

“Jika PBB boleh buat sesuatu, boleh bantu, itu yang terbaik. Tapi kerajaan kita mana? Di mana mereka semua? Anda semua di Parlimen bercakap. (Pergilah) Selamatkan mereka yang dalam senarai (minta bantuan). Kami (ahli keluarga) lari (pergi) ke sana sini (buat laporan) untuk apa?

“Mereka kata (jika terima laporan) seorang pun akan selamatkan. Mereka kata di Parlimen dan lepas itu kata tunggu duit dari pembentangan Bajet 2023. 2023? Semua orang di sana sudah mati.

Wakil PBB, Richard Marshall menerima memorandum yang diserahkan MHO di Putrajaya.

“Saya rasa lebih baik saya pergi ke sana sendiri, lebih cepat dari kamu, tapi saya tak ada kuasa,” luahnya kesal.

Setiausaha Agung MHO, Hishamuddin Hashim menyuarakan penghargaan selepas wakil PBB, Richard Marshall menerima memorandum berhubung isu pemerdagangan manusia melibatkan rakyat Malaysia.

Katanya, diharapkan PBB akan masuk campur dan memberi tekanan kepada Myanmar yang dilihat seolah-olah membenarkan negara itu menjadi hab pemerdagangan manusia.

“Kita tak dengar sebarang komen dari perdana menteri Myanmar untuk bantu Kedutaan Malaysia di Myanmar selamatkan rakyat Malaysia.

“Kita sangat bimbang dengan kerajaan Myanmar. Selagi mana adanya hab pemerdagangan manusia di Myanmar yang seolah-olah dilindungi kerajaan Myanmar, selagi itulah Asean dalam keadaan tidak selamat.”

Individu yang mempunyai masalah boleh menghubungi sukarelawan terlatih di Befrienders menerusi talian 03-79568145/8144 pada bila-bila masa, atau melalui e-mel admin@befrienders.org.my

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*