Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan mengapa pelaburan BlackRock dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) menjadi isu sekarang, sedangkan sebelum ini pun usaha sama membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan syarikat itu sudah berlaku.
Perdana Menteri memberi contoh pemilihan BlackRock oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai salah satu pengurus dana Akaun Terurus Berasingan (SMA) pelaburan langsung dan pelaburan bersama Ekuiti Persendirian (PE) patuh Syariah yang pertama dan terbesar di dunia dengan peruntukan AS$600 juta (RM2.5 bilion).
Beliau berkata, menerusi peruntukan itu, KWSP menubuhkan tiga dana SMA bernilai AS$200 juta setiap satu yang akan dikendalikan oleh tiga Pengurus Dana Ekuiti Persendirian – BlackRock, HarbourVest Partners LLC dan Partners Group AG.
Usaha ini, katanya telah pun bermula sejak 2018 sebelum dilancarkan oleh KWSP pada 2021.
“Kita diserang sekarang (dalam isu pelaburan BlackRock) termasuk oleh rakan di sebelah sana (pembangkang)… dia lupa keputusan penting (dibuat ketika jadi kerajaan) beri peranan kepada BlackRock pada 2021.
“Apa keputusannya, KWSP menyerahkan Akaun Terurus Berasingan (SMA) bersama Ekuiti Persendirian (PE) patuh syariah pertama dan terbesar di dunia kepada BlackRock. Tahniahlah dan jumlahnya AS$600juta bersamaan RM2.5 bilion.
“Kalau (dalam isu) BlackRock ini (dilihat) soalnya mengapa 2021 boleh buat, tetapi sekarang tak boleh. Inilah yang menjadi masalah, (apakah) hukum berubah ikut keadaan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata berkata jika ditanya secara peribadi beliau sendiri akan mempertahankan keputusan dibuat pada 2021 itu oleh KWSP.
“Kalau tanya saya (mengenai keputusan pada 2021 ini), saya pertahankan… kemungkinan KWSP pada itu sudah lapor kepada Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri ketika itu),” katanya.
Bagaimanapun Perdana Menteri membangkitkan persoalan BlackRock dengan membandingkan usaha sama pada 2021 dengan pelaburan dalam MAHB kini yang mempunyai konteks berbeza.
“Dalam kes MAHB tak pernah ada rundingan secara terus dengan BlackRock, tak seperti 2021 di mana KWSP runding secara terus dengan BlackRock.
“Pada 2023 KWSP dan khazanah (selaku pemegang saham MAHB) hanya melakukan rundingan bersama GIP (Global Infrastructure Partners) dan ia berberza dengan naratif di luar.
“Pihak Konsortium juga menjelaskan bahawa BlackRock tidak pernah sama sekali terlibat dalam sebarang transaksi berhubung MAHB. Pengurusan sedia ada GIP akan mengekalkan kawalan penuh dan tanggungjawab bagi hala tuju strategik dan operasi GIP serta syarikat-syarikat di bawah pelaburan mereka, termasuklah MAHB seandainya transaksi ini dimuktamadkan nanti,” katanya.
Perdana Menteri berkata, beliau secara peribadi termasuk kerajaan berpendirian tidak mahu mengganggu proses yang sedang berlaku dalam urusan membabitkan GIP dan MAHB kerana ia berbeza dengan syarikat yang dimiliki Israel.
“Jangan lupa 21 dan 22 syarikat milik Israel masih beroperasi di Malaysia dan pada 2023 kita batalkan semua kepentingan syarikat Israeal.
“Arahan ini diputuskan di peringkat Jemaah Menteri di mana kita tak izinkan mana-mana syarikat Israel untuk beroperasi di Malaysia,” katanya.
Turut baca :
Leave a Reply