Isu kecurian nadir bumi di Sik : Saifuddin dedah Sanusi kena kompaun RM500,000

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail meminta penjelasan Sanusi Md Nor sama ada menteri besar Kedah itu telah menerima surat kompaun berjumlah RM500,000 berhubung dakwaan berlaku kecurian nadir bumi di Kampung Chong, Sik.

“Saya nak tanya Sanusi, sebagai menteri besar kamu juga pengerusi MBI (Perbadanan Menteri Besar Kedah), saya nak tanya ada tak dapat surat daripada Fauzi Mustaffa Pengarah Tanah dan Galian Kedah pada hujung tahun lepas, surat yang mengkehendaki MBI membayar kompaun RM500,000 kerana mencuri nadir bumi di Kampung Chong, Sik.

“Kamu menteri besar, kamu pengerusi MBI, kamu dapat kompaun, surat itu bertarikh 4 Okt 2022 bersamaan 8 Rabiulawal dialamatkan kepada Pengerusi MBI, kompaun di bawah Seksyen 246 Kanun Tanah Negara 1965, kejadian 2.30 petang pada 24 Sept, kejadian curi nadir bumi di Kampung Chong, Mukim Sik, Kedah,” katanya.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan itu berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani Peringkat Negeri Kedah dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Guar Chempedak malam tadi.

Turut hadir Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Zahid Hamidi dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Saifuddin juga berkata apa yang didedahkan beliau malam tadi hanyalah permulaan dan akan ada lagi siri pendedahan dengan dokumen lengkap berhubung perkara itu.

“Kita percaya rakyat Kedah cerdik, jangan pernah pandang rendah kebijaksanaan rakyat Kedah, yang ini yakinlah kita akan turun dan terangkan dengan elok dalam siri penerangan kita, mudah-mudahan paling kurang 19 kerusi DUN (pada PRN) akan jadi kenyataan,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*