Pengasas FashionValet Vivy Yusof dan Fadzarudin Shah Anuar dipanggil memberikan keterangan kepada SPRM hari ini susulan kerugian puluhan juta ringgit syarikat negara Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Mereka dipanggil berbuat demikian di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dalam mesej ringkas melalui teks berkata, usahawan fesyen dan suaminya itu dijadual memberikan keterangan pagi ini.
Setakat ini, katanya, SPRM merakamkan kenyataan empat pekerja daripada Khazanah, PNB dan Kementerian Kewangan.
Kesemua mereka bertanggungjawab terhadap hal ehwal pelaburan agensi masing-masing.
Terdahulu Azam mendedahkan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti jika terdapat unsur jenayah atau isu tatakelola kerana ia melibatkan dana dan kepentingan awam.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam jawapan bertulis parlimen bertarikh 28 Okt menyatakan nilai saham Khazanah dan PNB dalam FashionValet menurun hampir RM44 juta apabila perniagaan itu dijual pada 2023, berbanding jumlah yang mereka belanjakan pada 2018.
Khazanah mengeluarkan RM27 juta dan PNB membelanjakan RM20 juta untuk memperoleh pegangan minoriti dalam FashionValet pada 2018, untuk meningkatkan perniagaan bumiputera dalam sektor e-dagang.
Bagaimanapun, menurut MOF, FashionValet dilanda masalah kewangan semasa pandemik Covid-19, walaupun waktu sama menyaksikan peningkatan jualan bagi banyak perniagaan e-dagang tempatan.
Vivy dan Fadzaruddin telah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka dan memikul tanggungjawab dengan mengumumkan keluar daripada syarikat itu.
Baca juga :
Leave a Reply