Isu beras: SPRM serbu lima kilang lagi hari ini

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) hari ini dijangka membuat serbuan di lima buah kilang beras lain selepas sebuah kilang di Kedah disita kerana disyaki menyorok beras putih tempatan (BPT) seberat 180 tan semalam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan bakal membuat siasatan mengikut perspektif SPRM dalam meneliti segala maklumat dan aduan.

“Satu syarikat semalam telah dituduh. Bertindak atas maklumat itu, kita secara proaktif telah menyerbu satu kilang yang maa kita bukan sahaja melihat isu beras tetapi subsidi yang diseleweng serta pihak yang terlibat.

“Banyak agensi lain yang terlibat dalam isu ini namun kita akan lihat (siasat) ia dari perspektif kami. Kesalahan rasuah atau melibatkan akta-akta kami mungkin berlaku terutamanya sekiranya berkait penyelewengan subsidi dan dana kerajaan.

“Hari ini terdapat lima buah kilang lagi akan diserbu SPRM. Dua daripanya telah diserbu dan kita tidak menolak sebarang kemungkinan ada lagi kilang akan dibuat pemeriksaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Public Private Partnership (PPP) Fasa 2, di Dorsett Hotel, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan siasatan yang dijalankan itu tidak menyasarkan mana-mana pihak sama ada Kerajaan Negeri mahupun ahli politik.

“Tugas kami adalah meneliti maklumat serta aduan yang diterima malah kita akan menyiasat mereka terlibat dengan profesional. Mana-mana pihak yang terlibat dalam isu jenayah akan menjadi perhatian tanpa mengira siapa pun mereka.

“Pegawai-pegawai saya perlu meneliti segala dokumen seperti invois, tuntutan subsidi dan sebagainya. Selain itu, pihak kawal selia padi ini juga akan dipanggil untuk beri keterangan.

“Saya tidak boleh nyatakan kes ini sama seperti tahun 2016 namun saya menjangkakan ia adalah sama,” tambahnya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mempersoalkan tujuan pihak tertentu termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggembar-gemburkan siasatan kontrak pembekalan beras bernilai RM100 juta yang berlaku tujuh tahun lalu.

Katanya, berita itu disebarkan seolah-olah kejadian tersebut berlaku semalam di bawah pentadbirannya.

Beliau dalam pada itu turut mempersoalkan bagaimana peristiwa yang berlaku pada 2016, boleh membawa kepada isu kekurangan beras tempatan yang berlaku pada hari ini.

“Laporan berkenaan hal itu dilontarkan ke tengah-tengah masyarakat tanpa penjelasan sewajarnya, tergantung seolah-olah peristiwa itu berlaku semalam walhal ia berlaku pada 2016.

“Saya tak tahu atas kehendak siapa laporan itu dibuat tetapi ghairah sekali dibina spekulasi seolah-olah punca ketiadaan beras tempatan ketika ini disebabkan oleh Sanusi sorok beras,” katanya.

Menurutnya, perkara paling asas perlu difahami adalah apabila Malaysia dibentuk, terdapat tiga bidang kuasa kerajaan negeri iaitu berkaitan tanah termasuk hutan, agama dan sumber air manakala lain-lain perkara di bawah kerajaan Persekutuan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*